KERAJAAN MADANI LEBIH MENJAGA KEBAJIKAN CALON DI KAWASAN BANJIR

 

Fadlina Sidek


Anak-anak kita di kawasan terjejas ini, diuji lebih berbanding calon SPM yang lain.








Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah berusaha memastikan tiada calon yang tercicir untuk menduduki UJIAN LISAN SPM pada hari ini. Kesemua calon SPM di kawasan terjejas banjir telah berjaya dipindahkan ke asrama semalam dan diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.


Kerajaan Madani melakukan sedaya upaya dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3% calon SPM (5,377 orang) di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bersama 98.7% (402,956 orang) calon SPM di seluruh Malaysia. Keputusan yang sukar ini terpaksa dibuat setelah mengambil kira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jikalau peperiksaan SPM ditangguhkan. 


Saya mendoakan agar anak-anak kita yang diuji ini diberi ketabahan, kesabaran, dan kecerdasan dalam menghadapi peperiksaan serta dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan dengan lancar.


Pada detik genting ini, marilah kita mengharungi ujian ini bersama. Saya cukup faham dengan sentimen massa yang empati dengan calon SPM yang terjejas, namun harus saya ingatkan juga kepada sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman, bahawa ini bukannya masa untuk menangguk di air keruh.


Kepada calon-calon SPM di kawasan terjejas, satu Malaysia mendoakan anda. Anda tidak keseorangan, kita sentiasa ada bersama anda. Mustahil kita mengharungi detik-detik yang sukar ini tanpa bantuan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), juga badan bukan kerajaan (NGO), dan individu-individu yang berprihatin.


Terima kasih semua. Kita kuat apabila bersama!