Usai sambutan rasmi, saya dan PM Gusmão langsung mengadakan pertemuan empat mata dan membincangkan beberapa perkara terkait kepentingan dua negara, di samping kesempatan mempererat hubungan peribadi antara kami.
Kami kemudian mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala, yang tertumpu seputar usaha meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala khususnya terkait perdagangan dan pelaburan, industri halal, pertahanan dan keselamatan, pendidikan tinggi, kesihatan, latihan dan kesalinghubungan.
Saya percaya Malaysia dan Timor-Leste perlu memanfaatkan hubungan erat untuk meneroka kerjasama strategik terutama bagi melonjak pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, terutama menerusi Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM).
Perbincangan kami juga menyentuh peranan Malaysia dalam membantu memuktamadkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, khususnya tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan.
Terkait perihal geopolitik serantau dan antarabangsa, saya dan PM Gusmão senada terhadap gesaan mewujudkan keamanan dan kestabilan berpanjangan di Palestin, Myanmar, Yaman, Jordan dan Ukraine.
Alhamdulillah, perbincangan kami berjalan dalam suasana persahabatan dan rasa hormat, selaras dengan hubungan dua hala Malaysia dan Timor-Leste yang telah terjalin sejak 22 tahun lalu.
#MalaysiaMADANI