WALAU ADIK MASUK PAS, ZAHID HAMIDI TAK TERGUGAT DI BAGAN DATUK


16 October 2024


Minggu ini boleh dianggap minggu yang penuh kejutan buat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.


Selepas dikejutkan dengan pendedahan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkenaan peristiwa pada malam pengiraan undi PRU15 lalu yang sedikit sebanyak mencalarkan imejnya kerana digambarkan seolah-olah telah berpakat lebih awal dengan Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri itu diberi kejutan seterusnya semalam apabila adiknya pula menyertai Pas.


Abdul Hakim Hamidi menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Haji Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.


Adik Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, keputusannya meninggalkan UMNO dan menyertai Pas adalah kerana ingin kembali kepada perjuangan bapanya, Hamidi Abdul Fatah yang sebelum ini merupakan seorang aktivis PAS.


Beliau menjelaskan, bapanya  bagaimanapun kemudian menyertai UMNO kerana mengikut jejak langkah Zahid Hamidi lantaran yakin parti itu sebagai parti Melayu yang komited menjaga Islam.


Seterusnya, Hakim Hamidi mendakwa, UMNO kini semakin lemah dalam menjaga hak Melayu serta Islam  dan itulah yang menyebabkannya menyertai Pas.


Dengan penyertaan Hakim Hamidi ke dalam Pas, gambaran kasar yang sedang terbentang ialah beliau seolah-olah sedang dipersiapkan sebagai calon PN untuk bertanding di Bagan Datuk pada PRU16 akan datang.


Dikira-dikira oleh kerana Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi saja mengalahkan Shamsul Iskandar yang didatangkan dari Melaka pada PRU lalu, itu pun sebab kiraan semula undi dihalang oleh Anwar, peluang PN untuk menang di Bagan Datuk dilihat lebih cerah ika adiknya sendiri diletakkan sebagai calon.


Hakim Hamidi sendiri tidak mustahil sudah mula terbayang-bayang orang memanggilnya YB sebagaimana beliau selalu mendengar orang memanggil abangnya dengan gelaran itu selama ini.


Tetapi, baik kepada Pas, PN atau Hakim Hamidi – jangan terlalu awal mahu memasang mimpi.


Mari kita lihat fakta dan angka yang bukan auta terlebih dahulu.


Memang betul Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi, tetapi pesaing terdekatnya pada PRU15 lalu ialah ialah PKR/PH.


Ketika itu, Zahid Hamidi mendapat 16,578 undi dan Shamsul Iskandar memperolehi 16,230 undi.


PN melalui Dr Faiz Na’aman (kini telah menyertai PKR) memperolehi 8,822 undi dan seorang calon Bebas, Tawfik Tun Dr Ismail hilang deposit kerana hanya mampu mendapat 226 undi saja.


Berdasarkan kedudukan itu, kalau PN mencalonkan Hakim Hamidi untuk mencabar abangnya di Bagan Datuk pada PRU akan datang, laluan untuk memperolehi kemenangan tidaklah semudah melihat angka 348 semata-mata.


Sementara PH dan BN sudah bekerjasama dan akan terus bersama pada PRU16 akan datang, kerja PN untuk menterbalikkan 8,822 undi menjadi angka kemenangan bukanlah suatu kerja yang mudah.


Kalau separuh daripada undi PH sekali pun misalnya pergi kepada PN  kerana ada pengundi tidak setuju dengan kerjasama BN dengan PH yang ada DAP di dalamnya, Zahid Hamidi masih lagi mempunyai laluan cerah untuk mengekalkan kemenangannya.


Silap-silap kalau berlawan dengan adiknya sendiri, majoriti kemenangan Zahid Hamidi kembali kepada sekitar 5000 undi sebagaimana dicapainya pada PRU 2018 dahulu.


Dipendekkan cerita, jika kemasukan Hakim Hamidi ke dalam Pas diniatkan untuk menggugat kedudukan Ahmad Zahid dengan cuba meletakkannya sebagai calon PN di Bagan Datuk, ia hanyalah kerja buang masa saja.


Diletakkan di lain-lain kerusi mungkin lain ceritanya, tetapi di Bagan Datuk bukan mudah untuk Hakim Hamidi mahu merobek kemenangan abangnya.


Selama ini pun beliau sekadar ahli UMNO biasa saja dan dikenali ramai pun kerana merupakan adik kepada Zahid Hamidi.


Zahid Hamidi bukan saja tidak tergugat di Bagan Datuk jika dipertandingkan dengan adiknya, dimalah dipercayai melalui PRU16 nanti mampu membawa UMNO yang diterajuinya kembali dominan dalam politik negara ini. – ShahbudinHusin 16Oktober2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/10/16/walau-adik-masuk-pas-zahid-hamidi-tak-tergugat-di-bagan-datuk.html