PEMILIK PERNIAGAAN HARUS BERSEDIA

 

Ahmad Mohammad


Masa depan bisnes bergantung pada perancangan kewangan yang betul.

.


Kerajaan Malaysia baru baru ini mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1500 kepada RM1700 dalam Bajet 2025. Ramai majikan mula risau, terutamanya dalam kalangan pemilik bisnes kecil dan sederhana.

.

Kita memahami perasaan mereka. Kenaikan kos ini boleh memberi kesan besar pada operasi harian, terutama bagi mereka yang sedang berusaha untuk mengekalkan keuntungan.

.

Namun, ada sesuatu yang kita perlu perhatikan, mungkin ramai daripada mereka yang bimbang ini sebenarnya berkemungkinan terlepas pandang sesuatu perkara yang lebih penting.

.

Jika kita lihat kembali ke beberapa tahun lalu, kerajaan sudah menunjukkan tanda-tanda akan menaikkan gaji minimum. Contohnya, sewaktu gaji minimum ditetapkan pada RM1200, langkah seterusnya ke RM1500 sudah boleh dijangka.

.

Jadi, sebagai pemilik perniagaan, tidakkah kita patut bersedia lebih awal? Pandangan peribadi saya, inilah peluang untuk kita belajar bagaimana kita merancang kewangan bisnes dengan lebih bijak.

.

Teringat satu kisah seorang pemilik restoran yang pernah sembang sembang dengan saya. Apabila kerajaan menetapkan gaji minimum pada RM1500, dia telah mengambil langkah berani dengan memperuntukkan bajet gaji pekerjanya pada RM1800.

.

Ketika itu, ramai yang tidak faham kenapa dia membuat keputusan begitu. Namun, dia menjelaskan bahawa dia ingin memastikan syarikatnya bersedia untuk sebarang kenaikan gaji minimum di masa hadapan tanpa perlu terburu-buru mengubah perancangan kewangan.

.

Hasilnya? Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan ke RM1700 baru-baru ini, dia tidak terkesan langsung.

.

Contoh seperti ini mengajar kita satu perkara penting iaitu perancangan kewangan yang bijak tidak hanya melihat kepada keperluan semasa, tetapi juga kepada masa hadapan.

.

Apabila kita menetapkan bajet gaji lebih tinggi daripada minimum yang diumumkan, kita memberi ruang kepada syarikat untuk menghadapi kenaikan masa depan dengan lebih tenang. Dengan bajet yang fleksibel, kita tidak terperangkap dalam situasi di mana kenaikan gaji mengejutkan operasi perniagaan kita.

.

Ada usahawan kecil yang mengendalikan sebuah kilang memberikan input kepada saya yang dia juga mengambil pendekatan yang sama. Sewaktu gaji minimum masih pada RM1500, dia telah memperuntukkan bajet gaji pekerjanya pada RM1800.

.

Apabila kenaikan diumumkan, dia hanya perlu membuat sedikit pelarasan tanpa merosakkan kestabilan kewangan syarikatnya.

.

Namun, ada di antara kita yang masih risau. "Kalau naikkan gaji pekerja, bagaimana dengan kos operasi lain?" Ini soalan yang biasa kita dengar. Tetapi inilah masa di mana kita boleh menambah nilai kepada bisnes kita.

.

Bukankah lebih baik jika kita mencari cara untuk meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan kita? Dengan menambah baik, pelanggan mungkin akan melihat nilai tambahan yang kita tawarkan.

.

Kita ambil contoh perniagaan restoran yang berdepan dengan kos operasi yang meningkat. Boleh sahaja terus menaikkan harga secara terus, namun adalah lebih baik memperkenalkan menu premium yang memberikan pilihan tambahan kepada pelanggan.

.

Mungkin dengan cara ini, pelanggan tidak hanya melihat kenaikan harga, tetapi juga peningkatan dalam kualiti dan pilihan.

.

Begitu juga dengan perniagaan runcit yang berjaya mengimbangi kos operasi dengan menambah pakej promosi khas kepada pelanggan setia.

.

Bagi pelanggan, mereka merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi kerana produk yang ditawarkan lebih bernilai.

.

Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah kenaikan gaji minimum bukanlah musuh yang perlu ditakuti. Dengan perancangan yang betul dan pendekatan yang fleksibel, kita boleh memastikan bisnes kita tetap stabil dan terus berkembang.

.

Merancang dengan baik dari awal, termasuk memperuntukkan bajet yang lebih tinggi untuk gaji pekerja, adalah kunci untuk menghadapi perubahan tanpa sebarang gangguan besar.

.

Jadi, bagi rakan-rakan pemilik perniagaan di luar sana, jangan hanya melihat kepada kenaikan kos sebagai beban.

.

Sebaliknya, lihat ia sebagai peluang untuk menambah nilai kepada perniagaan kita dan memperkukuhkan asas kewangan untuk masa hadapan.

.

Sebab akhirnya, bisnes yang berjaya bukanlah yang sekadar bertahan, tetapi yang mampu berkembang dengan bijak.

.

Sekian tulisan subuh dari saya.