KENYATAAN MEDIA DATUK' SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA



1.  AMANAH menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2025, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Walaupun pengurangan defisit berjaya dikurangkan 3.8% dari sasaran 3.3% namun ia sesuatu yang realistik sekaligus membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk mengawal tahap keberhutangan negara. Bajet 2025 turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 2025 kepada 5.5%, sesuatu yang optimis dan boleh tercapai memandangkan pada separuh pertama 2024 Malaysia mencatatkan pertumbuhan

 5.1%.


2.  Belanjawan 2025 bukan sahaja realistik tetapi juga komprehensif, dan inklusif dengan fokus pembelaan terhadap rakyat sama ada golongan kaya dan berada, golongan menengah dan profesional serta rakyat umum, termasuk golongan miskin tegar, pelajar, belia, wanita, Orang Kelainan Upaya (OKU).


3.  Rakyat berasa lega dengan pengumuman untuk meneruskan dan memperkasa Program Payung Rahmah. Jumlah RM700 juta untuk saluran program Rahmah jelas satu keutamaan Kerajaan Madani bagi menangani kos sara hidup bagi golongan yang terkesan. Ini ditambah lagi dengan bantuan SARA dan STR bernilai RM13 billion untuk memberi manfaat kepada 9 juta penerima dan merupakan terbesar sejak diperkenalkan.


4.  Isu keterjaminan makanan terus diberi fokus dengan tambahan RM300 juta dengan fokus penanaman bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan tanaman padi di Negeri Sembilan, termasuk inisiatif penanaman padi untuk 5 musim sudah tentu memberi impak positif bagi menjana sektor pertanian domestik dan mengurangkan import bahan makanan asasi dari luar negara. Tahniah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas inisiatif beliau.


5.  Kewangan Islam terus diberi tumpuan dengan kedudukan Malaysia yang menjadi destinasi kewangan Islam dalam senarai 10 terbaik di dunia. Untuk itu RM100 juta diperuntukkan untuk penerokaan modal Islam (IVC) melalui kaedah Musyarakah dan Mudharabah. Tahniah juga kepada Halal Jakim yang diberikan peruntukan tambahan pegawai audit Halal untuk melicinkan proses pensijilan Halal yang semakin meningkat.


6.  Akhirnya, AMANAH optimis melalui pengemblengan seluruh agensi pelaksana, sektor awam, swasta, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, serta seluruh rakyat, Belanjawan 2025 akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia dan geopolitik global yang terus bergolak.


YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Timbalan Pesiden AMANAH.


18 Oktober 2024


https://www.facebook.com/share/p/CYLvbmqyvegpmakw/