KASIHANI REMAJA KITA


Oleh kerana kita kecanduan agama, maka kita berasa hanya dengan hafal Quran kita akan beroleh kebaikan tertinggi dalam beragama.


Bagi saya tidak begitu. 


Hafal Quran bukan segala-galanya. Hafal Quran hanya salah satu cara muamalah (interaksi) kita dengan Quran.


Quran bukan sekadar untuk dihafal. Ramai tokoh agama tidak hafal Quran. Mufti kita hampir semuanya tak begitu. Profesor agama pun begitu juga.


Ada ibu bapa yang memaksa anaknya memasuki pusat tahfiz kerana menganggap anaknya mendapat segala-galanya dengan hafal Quran.


Didesak oleh ibu bapa, anak-anak masuk juga pusat tahfiz. Tak mahu lukakan hati ibu bapa. Takut dilabel anak derhaka. Masuk dengan rela-paksa.


Anak-anak menghafal separuh hati. Jiwa tertekan. Hafal tak bagus sebab tak minat. Tak nampak hala tuju hidup. Masa depan nampak kosong.


Bayangkan situasi begitu dihadapi ketika berusia awal remaja. Hidup terkurung dalam dinding pusat tahfiz yang seadanya. Ada yang sampai bertahun-tahun begitu.


Balik rumah jumpa sepupu-sepapat. Mereka berbual tentang belajar di universiti. Belajar kemahiran itu ini. Tapi dia, masih dibelenggu oleh kewajipan hafaz Quran yang dipaksakan.


Dirinya dirasa agak terasing. Dalaman dirinya memberontak. Peluang dicari untuk melampias amarah. Marah pada ibu bapa dan sistem hafalan yang mengongkong jiwanya.


Ibu bapa pula suka sendiri. Anaknya hafal Quran. Sangkanya dia telah memberikan sesuatu yang terbaik untuk anaknya.


Padahal, dia telah melukai jiwa anaknya sendiri tanpa disedari. Dia telah merobohkan menara kemenjadian anaknya sendiri tanpa diketahui.


Hakikatnya...


Hafal Quran bagus, tapi bukan bagus untuk semua remaja. Hafal Quran baik, tapi bukan baik untuk setiap diri kerana manusia berbeza.


Untuk ibu bapa yang mahu anaknya hafal Quran:


1. Berbincanglah baik-baik dengan anak. Jika dia tak mahu, hormatilah pilihannya.


2. Berbincanglah dengan orang yang berpengalaman dan berpengetahuan. Ikutilah saranannya demi kebaikan anak-anak.


Zola,

13102024