Kita semua tahu siapa dia.


Zainuddin Omar


***


**********

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan 'safehouse' seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.


Operasi itu dilakukan SPRM susulan siasatan skandal rasuah jutaan ringgit membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan konsesi perlombongan pasir dilakukan syarikat cabang pelaburan negeri itu.


BH difahamkan, pangsapuri di Kuala Lumpur itu menjadi tempat penyimpanan wang hasil rasuah milik seorang individu berpengaruh dan ia dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu termasuk politik.


SPRM dikatakan menemui sejumlah mata wang Singapura SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta selepas menggeledah rumah berkenaan.


"Dalam siasatan terhadap skandal itu, SPRM menahan seorang suspek dan hasil siasatan mendapati terdapat sebuah pangsapuri disewa di ibu negara yang didakwa dijadikan 'safehouse'.


"Pada jam 10 malam semalam, SPRM melakukan operasi penggeledahan dan menemui wang Singapura bernilai SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta yang dipercayai disimpan untuk kegunaan ahli politik terbabit bagi aktiviti tertentu," kata sumber kepada BH, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, BH difahamkan, pangsapuri itu disewa seorang ahli perniagaan.


Sumber berkata, wang itu dipercayai diberikan seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan terbabit atas arahan individu berpengaruh berkenaan.


"SPRM menyita semua wang yang ditemui itu," katanya.


Sumber berkata, syarikat terbabit memohon konsesi daripada MBI lebih lima tahun lalu dan elemen rasuah dikatakan berlaku.


Beliau berkata, SPRM sudah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.


Katanya, SPRM ketika ini juga sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu dalam kes berkenaan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dihubungi BH bagi mengulas penemuan wang tunai di 'safehouse' berkenaan hanya mengesahkan seorang bekas eksekutif kanan di MBI adalah antara dua individu yang ditahan SPRM beberapa hari lalu, bagi membantu siasatan kes itu.


Katanya, kedua-dua suspek termasuk seorang ahli perniagaan dikatakan ada kaitan dengan seorang individu berpengaruh di Selangor.