Salafi bukan musuh saya

 

Salafi bukan musuh saya


1. Walaupun saya mengkritik Salafi, jangan fikir saya memusuhi mereka. Mereka adalah saudara2 saya, tetapi sayang saya kepada keindahan ajaran agama ini lebih daripada sayang saya kepada mereka. 


2. Untuk anak-anak muda yang obses dengan Salafi atau Sunnah, saya ni Salafi sejak tahun satu di al-Azhar (1991) hasil daripada membaca terlampau banyak kitab-kitab tulisan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Hampir semua kitab Syeikh al-Albani ada di rumah saya. 


3. Kenapa saya beransur-ansur menjarakkan diri daripada faham Salafi? 


4. Jawabnya, setelah ilmu saya bertambah dengan membaca kitab-kitab syeikh lain. Dalam bidang hadis, saya dapati Syeikh Hasan al-Saqqaf tak kurang hebatnya. Beliau berjaya membuktikan Syeikh al-Albani banyak kontradik dengan dirinya sendiri dalam banyak hukum hadis yg beliau putuskan. Syeikh al-Saqqaf telah menulis dua volume kitab bertajuk Tanaqudhat al-Albani al-Wadihah (Kontradiksi al-Albani Yang Jelas) 


5. Setelah membaca kitab-kitab Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah pula saya dapati syeikh sangat-sangat alim dalam ilmu hadis. Tetapi apa yang paling menarik minat saya ialah akhlak Syeikh Abu Ghuddah yang tidak membalas kata-kata Syeikh al-Albani terhadapnya. Semoga Allah mengampuni Syeikh al-Albani dan menjadi pengajaran kepada pengikutnya, khususnya di Malaysia. 


6. Bila saya membaca kitab-kitab Syeikh Muhammad al-Ghazali, saya menjadi lebih terbuka dan tidak terlalu kagum dengan ulama aliran Salafi atau Ahlul Hadith. Syeikh al-Ghazali mendekatkan dan melengkapkan hajat ilmu hadis terhadap ilmu fiqh dan sebaliknya. Kitab Syeikh al-Ghazali bertajuk al-Sunnah al-Nabawiyah bayna Ahlil Fiqh wa Ahlil Hadith sangat memberi kesan kepada saya. Semoga Allah SWT merahmati syeikh. 


7. Bila saya membaca kitab Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Bouti, khususnya yang bertajuk al-Salafiyah Marhalah Zamaniyah La Mazhab Islami, saya jadi semakin terbuka dan boleh melihat betapa ghurur anak-anak muda terhadap Salafi ketika itu (1990an) adalah kerana jahil tetapi semangat lebih. Mereka sangka hanya Syeikh al-Albani paling alim dalam hadis atau sunnah. Kalau ada lagi yang lebih alim, mereka hanya fikir Ibn Taimiyah. Samalah sebahagian anak muda di Malaysia, mereka fikir hanya figura tertentu terpaling pakar dalam hadis dan terpaling mengikut sunnah. 


8. Saya tidak memusuhi saudara-saudara saya aliran Salafi. Apa yang saya harapkan mereka lebih berlapang dada dan menghormati pihak lain. Sunnah yang terbesar itu ialah berhikmah dalam dakwah.