Malaysia punya potensi besar dalam sektor pendidikan swasta.


Jamzuri Ardani


Terdapat satu sekolah menengah swasta untuk pelajar international berhampiran Lapangan Terbang KLIA.  Ia adalah sekolah berasrama penuh dengan Bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa pengantaraan. 


Siapa yang belajar di sekolah ini? Anak-anak orang kaya di seluruh dunia. Selain dari pelajar Malaysia, ada yang datang dari China, Australia, Singapura, Taiwan, Indonesia, dan New Zealand. Bayaran yurannya pasti harga kayangan. 


Kenapa mereka memilih sekolah ini? 


Pertama, dekat dengan lapangan terbang. Ibubapa boleh datang jengok anak ketika 'layover' di KLIA ketika dalam penerbangan ke destinasi lain untuk urusan-urusan lain. Anak nak balik ke negara masing-masing pun mudah. Mungkin sebulan sekali pihak asrama benarkan balik. Pergi ke airport terus terbang ke negara asal masing-masing. 


Kedua, pendedahan awal kepada rangkaian rakan-rakan dari pelbagai negara. Mereka ini anak-anak orang kaya. Ibubapa mereka punya perusahaan dan perniagaan besar.  Anak-anak bakal mewarisi perniagaan ibubapa. Rangkaian di peringkat antarabangsa di peringkat awal persekolahan pastinya banyak membantu urusan mereka di masa depan. 


Ketiga, walaupun yurannya bertaraf kayangan ianya mungkin masih lebih murah berbanding sekolah-sekolah yang sepertinya di negara mereka sendiri, terutama di negeri seperti Australia, Singapura, dan New Zealand. 


Keempat, kualiti pendidikan yang tinggi. Sekolah ini merekrut dan melatih guru-guru dan pentadbir pendidikan terbaik dan menawarkan gaji yang lumayan. Bayangkan guru-guru dan pentadbir sekolah terbaik di ASEAN di'headhunter' untuk ditawarkan mengajar di sekolah tersebut dengan gaji yang lumayan. 


Saya fikir business model ini sangat sesuai dengan sifat unik negara Malaysia yang progresif dan pelbagai.  Ianya boleh dikembangkan bagi menjadikan sektor pendidikan menengah sebagai industri yang menjana ekonomi yang besar buat negara kita. 


Kepelbagaian dan kerencaman adalah kekuatan kita.