KENYATAAN MEDIA PERDANA MENTERI*



Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri telah menggerakkan Ops Tiris yang telah berlangsung sejak 1 Mac 2023 yang mana ia bertujuan bagi membanteras permasalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tatkala ia memanfaatkan pihak yang tidak layak.


Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824.00 telah dirampas.


Justeru, atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops tersebut, maka Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakup barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).


Sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng.


Lantaran itu, Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.


Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya. Malah, Kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.


Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.


Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.


Selain itu, Kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak Kerajaan ini mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.


Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga

RM33-RM35.


Perkembangan semasa menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.


Selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat, Kerajaan memutuskan supaya harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.


Kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuatkuasa mulai Isnin, 17 Jun 2024.


Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.


Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan.


Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani Kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat.


 

ANWAR IBRAHIM

17 Jun 2024