PM umum rombakan Kabinet 11 pagi ini, angkat sumpah 2.30 petang




 Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan rombakan Kabinet pada 11 pagi ini yang antara lain melibatkan pertambahan jumlah anggota Jemaah Menteri.


Perdana Menteri ditanya sama ada rombakan itu akan melibatkan pertambahan anggota Jemaah Menteri oleh pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini berkata: "Sedikit pertambahan."


Beliau turut membayangkan bahawa beliau akan memindahkan sebahagian tanggungjawabnya ketika ini.


"Saya akan memindahkan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.


Kabinet Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada Disember 2022 terdiri daripada 28 menteri dan 27 timbalan menteri termasuk Perdana Menteri dan dua Timbalan Perdana Menteri.


Portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong selepas menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lepas.


Jawatan itu kini dipangku Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).


Dalam pada itu, Bernama melaporkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan akan berlangsung di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini.


Memetik sumber, acara itu melibatkan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.

Pada 1 Disember lepas, Perdana Menteri memberi bayangan rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini.

No comments: