Rafizi Ramli
Selepas setahun diberi amanah menjadi Menteri Ekonomi, alhamdulillah beberapa keputusan penting untuk menstrukturkan ekonomi bagi jangka masa panjang telah dibuat.
Keputusan-keputusan ini sukar untuk dibuat dan sukar untuk dilaksana, sebab itu keputusannya tergendala sebelum ini.
Contoh yang paling baik ialah reformasi bantuan sosial ke arah mewujudkan sistem perlindungan sosial yang universal. Kemampuan kerajaan menambahbaik sistem bantuan sosial kepada mereka yang memerlukan bergantung kepada maklumat penerima.
Tidak cukup dengan maklumat nama dan tempat tinggal, kerajaan memerlukan maklumat yang tepat tentang keadaan sosio-ekonomi setiap keluarga. Tanpa pangkalan data ini, berapa banyak peruntukan dibelanjakan pun, ia belum tentu dapat memenuhi sasaran sistem bantuan sosial.
Sebab itu saya fokuskan kepada satu pangkalan data menyeluruh ke arah itu. Setelah penjawat awam dari seluruh jabatan kerajaan bertungkus lumus sejak Mei 2023, Insya Allah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka kepada orang ramai untuk validasi bermula Januari ini.
Begitu jugalah dengan beberapa keputusan dasar yang lain. Tahun 2023 memberi tumpuan untuk mencapai sepakat keputusan-keputusan penting yang tertangguh oleh pentadbiran-pentadbiran lalu. Bermula 2024, pelaksanaan dasar-dasar menyeluruh ini akan mula dirasai dan difahami oleh rakyat.
Itu akan memberi sedikit masa terluang kepada saya untuk menumpukan kepada satu lagi tugasan penting: memberi pencerahan untuk melawan propaganda pembodohan oleh pembangkang.
Politik ialah persaingan. Parti-parti politik bersaing untuk meyakinkan rakyat dan ada pelbagai cara untuk bersaing.
Pembangkang sekarang memilih untuk membodohkan rakyat dengan mainan sentimen perkauman, menolak fakta dan mengalihkan pandangan rakyat dari perkara sebenar.
Tujuan mereka ialah supaya rakyat berterusan mengeluh dan menolak fakta-fakta yang ada di depan mata mereka.
Itu hak mereka untuk memilih strategi masing-masing.
Sebagai salah seorang pemimpin PH dan kerajaan, menjadi tanggungjawab dan hak saya untuk melawan usaha pembodohan rakyat demi kuasa ini.
Sebelum ini, saya tidak terlalu memberi perhatian untuk menjawab kerana saya tumpukan sepenuh masa untuk memastikan keputusan-keputusan dasar penting dibuat untuk menambahbaik struktur ekonomi negara.
Bermula sekarang, saya akan fokus juga kepada usaha memperbaiki komunikasi kementerian saya dan kerajaan keseluruhannya, termasuklah menjawab kebodohan.
Sebahagian dari caranya ialah dengan menunjukkan kebodohan hujah pembangkang.
Saya tahu ada penyokong pembangkang yang akan melenting. Bila mereka tidak boleh menjawab, alasan yang selalu diberikan ialah “ini bukan kerja menteri”, atau “ini je level menteri” dan yang sama waktu dengannya.
Itulah reaksi mereka bila menteri mula menjawab.
Saya diajar beberapa perkara asas – kalau ada yang memukul secara tidak adil, jangan teragak-agak untuk pukul balik.
Ini masa untuk memukul balik siri pembodohan Perikatan Nasional.