Pastinya ketika ini semua orang sudah mengetahui tentang rombakan kabinet sebagaimana telah diumumkan oleh Anwar Ibrahim pagi tadi.
Secara kasarnya, tiada apa-apa terlalu mengejutkan dalam rombakan yang diumumkan itu, kecuali dua perkara:-
Pertama, perlantikan Amir Hamzah Azizan, bekas CEP KWSP sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Namanya hampir tidak pernah disebut sebelum ini untuk dilantik menganggotai kabinet, meskipun tidak dinafikan beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia korporat dan dunia kewangan swasta.
Ini kerana yang disebut-sebut sebelum ini paling sesuai menjadi Menteri Kewangan Kedua ialah Johari Ghani, seorang Naib Presiden UMNO serta pernah memegang jawatan tersebut ketika era pentadbiran Najib Razak dahulu.
Kenapa Johari tidak dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua?
Johari bagaimanapun diberikan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Mungkin pengalaman Johari dalam dunia korporat dan sebagai bekas Menteri Kewangan Kedua sebelum ini lebih diperlukan untuk memantapkan sektor perladangan dan komoditi negara.
Cumanya, diharapkan Amir Hamzah, berdasarkan pengalamannya itu, mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada kerajaan melalui jawatan yang baru diberikan kepadanya.
Perkara kedua yang boleh dikira mengejutkan ialah pertukaran kementerian yang disandang oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan atau Tok Mat.
Beliau sebelum ini adalah Menteri Pertahanan, sebuah kementerian yang dianggap kanan, tetapi kini dipindahkan ke Kementerian Luar Negeri yang tidak diketahui entah kanan atau entah kiri status kementerian itu.
Menteri Luar Negeri sebelumnya ialah Zambry Abdul Kadir yang sekarang ditukarkan ke Kementerian Pengajian Tinggi.
Menteri Pertahanan yang baru pula ialah Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO yang sebelum ini adalah Menteri Pengajian Tinggi.
Dalam rombakan ini bermakna, Khaled selaku Naib Presiden UMNO, jawatan nombor tiga dalam parti diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Pertahanan, sebuah kementerian yang dianggap kanan, manakala Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO, pemegang jawtaan nombor dua dalam parti, dipindahkan untuk menerajui Kementerian Luar Negeri, sebuah kementerian entah kanan entah kiri.
Terutama di kalangan UMNO, pertukaran ini mendapat respon yang rata-rata menganggapnya sebagai turun pangkat, selain sebuah kementerian yang tidak ada benda boleh diberikan kepada penyokong-penyokong.
Selama ini, Kementerian Pertahanan sentiasa sentiasa diterajui pemimpin yang ada jawatan senior dalam parti, manakala Kementerian Luar Negeri pula biasanya hanya dipegang penjawat parti bertaraf biasa-biasa saja.
Dalam hal ini, ada yang mengatakan pertukaran Tok Mat itu bertujuan untuk menyibukkan beliau dengan urusan di luar negeri serta kekerapan mengiringi lawatan-lawatan Perdana Menteri, sekaligus menjarakkannya dengan aktiviti serta urusan dalaman UMNO yang akhirnya tidak mustahil akan melemahkan kedudukannya dalam parti.
Ia dikatakan ada kaitan dengan komen yang diberikannya selepas keputusan buruk diterima UMNO dalam PRK Kemaman baru-baru ini.
Dalam reaksinya itu,Timbalan Presiden UMNO tersebut dipetik sebagai berkata, keputusan di Kemaman adalah jelas bahawa UMNO masih jauh untuk berjaya dalam mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.
Katanya lagi, tugas mengembalikan kepercayaan itu adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil dan UMNO mesti menerima realiti orang Melayu masih jauh dari mempercayai parti itu sebagai wakil politik mereka yang berkesan.
Kenyataan beliau itu dilihat bertentangan dengan kenyataan Zahid Hamidi yang mengatakan kekalahan calon BN di Kemaman adalah disebabkan “pengundi putih” tidak keluar mengundi.
Soalnya, gembirakah Tok Mat dengan jawatan barunya ini atau beliau merasakannya ia tidak lebih seperti perbezaan antara berada di Rembau dengan Rantau saja? – ShahbudinHusin 12/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/12/tok-mat-turun-pangkat.html