Oleh: Helmi Mohd Foad
ANALISIS: Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi, soal pelantikan Menteri Kewangan II sudah tentu menjadi topik paling banyak dibincang dan menjadi tumpuan.
Apakan tidak kerana sejak berbulan-bulan lamanya pelbagai pandangan diutarakan sama ada di peringkat akar umbi dan juga sidang Parlimen, soal kedudukan Menteri Kewangan menjadi perkara utama.
Banyak pihak menganggap seorang Perdana Menteri perlu melantik seorang Menteri Kewangan penuh bagi menumpukan soal pengurusan kewangan negara ketika keadaan ekonomi dunia yang mencabar.
Lonjak pacuan ekonomi negara
Sepanjang setahun mentadbir, Anwar telah memberikan tumpuan kepada soal tatakelola terutamanya dalam proses perolehan membabitkan kementerian-kementerian.
Beliau sempat membentangkan semula Belanjawan 2023 pada Februari dan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu dengan tumpuan bagi mengurangkan defisit fizikal.
Dalam masa sama menyaksikan perbelanjaan yang besar terutama melibatkan sokongan sosial kepada rakyat termiskin. Anwar turut mahu pertumbuhan ekonomi tetap melonjak.
Sepanjang setahun lalu, Anwar ternyata telah berjaya memacu ekonomi negara dengan baik apabila angka pelaburan dan pertumbuhan yang baik dan inflasi menurun.
Malah dalam ucapan kepada staf Kementerian Kewangan sebelum mengumumkan rombakan Kabinet pagi ini, Anwar tetap mahu sistem perolehan terutama bagi pasukan keselamatan negara dipercepatkan kelulusannya.
Beliau mahu sistem perolehan juga melalui satu proses rombakan agar lebih telus pada masa akan datang.
Tokoh besar di KWSP
Justeru itu, apabila Perdana Menteri mengumumkan nama seorang teknokrat dilantik menjadi Menteri Kewangan II, ia sudah pasti selari dengan hasrat beliau agar pengurusan kewangan negara dapat dilaksanakan dengan lebih mantap.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan II hari ini merupakan seorang tokoh yang tepat dipilih oleh Anwar memandangkan beliau mempunyai pengalaman besar terutama sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri dalam sidang akhbarnya selepas mengumumkan rombakan Kabinet berkata, pelantikan Menteri Kewangan II tersebut dilakukan kerana beliau pasukan profesional yang kuat.
"Ini bagi memastikan kita berada pada landasan ekonomi yang tepat dan memberikan fokus kepada ekonomi dan tidak diketepikan atau terjejas akibat tekanan politik.
"Beliau (Amir Hamzah) juga telah menunjukkan cukup keupayaannya dalam menguruskan KWSP dengan cukup cemerlang dan dengan cara yang memuaskan," katanya.
Amir Hamzah merupakan anak sulung kepada Tun Azizan Zainul Abidin yang merupakan tokoh korporat Malaysia dan bekas presiden Perbadanan Putrajaya dan juga Presiden Petronas.
Pengalaman urustadbir ekonomi menyerlah
Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini menyertai KWSP pada 2021 telah menunjukkan kepakarannya dalam menguruskan dana pencen terbesar dari segi pengurusan aset.
Selain itu, Amir Hamzah turut pernah menjadi Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April, 2019 hingga Februari, 2021.
Kerjaya Amir Hamzah bermula dengan Shell Group of Companies selama 10 tahun dengan pelbagai kapasiti di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.
Beliau menyertai MISC Bhd pada 2000 dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO pada Januari 2009.
Pada Jun 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Bhd.
Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai Petronas Lubricants International sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan, serta pada masa sama berkhidmat sebagai Naib Presiden (VP) bagi Pemasaran Hiliran dan seterusnya sebagai Naib Presiden Minyak Pelincir bagi Petronas Group.
Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk mengemudi syarikat penerima pelaburan, Icon Offshore Bhd sebagai Pengarah Urusan dan CEO.
Amir Hamzah kemudian dilantik sebagai CEO Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, sebelum menyertai TNB pada April 2019.
Beliau juga Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd dan juga menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Oils International Ltd.
Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.
Bina landasan kukuh kewangan negara
Dengan latar belakang kukuh Amir Hamzah itu, Anwar ternyata telah meletakkan seorang tokoh yang mampu meletakkan pengurusan kewangan negara di landasan yang lebih kukuh.
Sementara itu, seorang penganalisis politik menganggap pelantikan seorang teknokrat membantu Anwar sebagai Menteri Kewangan II menunjukkan Perdana Menteri bersikap responsif terhadap pandangan pelbagai pihak terutamanya rakyat.
Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan, Khairul Ariffin Mohd Munir berkata dalam pembentukan Kabinet, sosok seorang Perdana Menteri perlu dilihat mempunyai pasukan Jemaah Menteri yang dilihat mampu berfungsi dengan efektif.
"Dalam siri sidang Parlimen termasuk pembentangan Belanjawan, banyak dibangkitkan isu panas tentang ekonomi dan kewangan, isu komunikasi dan sosial. Isu pengurusan kewangan banyak dibangkitkan dan perlu kepada penumpuan," ujarnya di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV1.
Beliau berkata pelantikan seorang teknokrat mampu untuk memberikan tumpuan kepada usaha menggerakkan ekonomi dan pengurusan kewangan negara.
Jelasnya, langkah tersebut juga sejajar dengan proses reformasi yang diungkapkan oleh Perdana Menteri.
Khairul Arif berkata melalui pelantikan tersebut sebagai tepat kerana ia boleh membantu urusan selain dari segi pelaksanaan dasar malah sistem penyampaian dan birokrasi agensi dapat diperkukuhkan.
"Peranan ini dapat dimainkan oleh Amir Hamzah," ujarnya. - Suara Keadilan