Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk
Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar satu pasukan khas diwujudkan untuk
mempercepatkan proses kelulusan perolehan bagi pasukan pertahanan dan
keselamatan serta agensi penguatkuasaan negara.
Perdana
Menteri berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican
telah diminta memantau pasukan itu bagi memastikan semua kelulusan
dipercepatkan.
Beliau
yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan sistem perolehan untuk ketiga-tiga
cabang agensi keselamatan negara itu perlu dirombak agar lebih telus.
"Minggu
lepas, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan,
Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan. Tentunya semua menuntut
perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan terbiar.
"Sistem
perolehan agak lemah, nama sistem perolehan tetapi tidak diperoleh. Dia banyak
ketirisan… jadi faktanya apa? Ia harus dirombak dan lebih telus, biar golongan
profesional berikan pandangan dan kita nilai dari segi Kementerian
Kewangan," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian
Kewangan di Putrajaya hari ini.
Perdana
Menteri berkata walaupun sudah memasuki tempoh akhir tahun, kelulusan perolehan
untuk pasukan keselamatan negara perlu disegerakan untuk mereka melaksanakan
tugas dengan baik.
"Walau
akhir tahun, kita berikan keputusan (kelulusan) agar mereka teruskan
kerja," katanya sambil memaklumkan kelulusan tersebut dipercepatkan agar
badan penguatkuasaan boleh melaksanakan tugas mereka.
Sementara
itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan yang telah
bekerja sebagai satu pasukan dalam tempoh setahun ini untuk membangunkan
negara.
Jelas
beliau meskipun menghadapi cabaran seperti masalah ringgit namun biasanya ia datang
dengan kejatuhan inflasi.
Katanya
data pertumbuhan dan pelaburan serta kadar inflasi semuanya menunjukkan sesuatu
yang menyakinkan telah dicapai bersama tahun ini.
"Bila
ekonomi itu gawat, apa yang kita lakukan, bila ada kemusnahan ekonomi, diambil
kesempatan gunakan ikhtiar baru yang kreatif, jangan kekal amalan lama, salah
guna kuasa...ini semua ciri merosakkan," katanya sambil berharap tahun
hadapan perubahan lebih baik dan cekap dapat dilakukan.