AMARAN UMNO WP KEPADA DAP – JANGAN BANGKIT LAGI CADANGAN P/RAYA PBT

 

Pembaziran wang rakyat merupakan salah satu sebab mengapa Umno Wilayah Persekutuan menolak cadangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dalam kenyataan memaklumkan mereka telah mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini dan mengambil ketetapan untuk membantah sekeras-kerasnya cadangan yang dikemukakan DAP Kuala Lumpur.

“Umno Wilayah Persekutuan berpendapat adalah lebih baik peruntukan untuk pemilihan ahli-ahli PBT disalurkan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan demi rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih memerlukan seperti menambah baik infrastruktur, pembinaan rumah mampu milik, menaik taraf pusat-pusat penjaja atau medan selera, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Umno Wilayah Perseketuan berpendapat pemilihan ahli-ahli PBT akan mewujudkan kartel-kartel politik yang akhirnya akan membiayai calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya PBT.

“Amalan rasuah dan salah guna kuasa pasti akan berlaku yang sudah semestinya akan merencatkan usaha YAB PMX dalam membanteras gelaja rasuah di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Pilihan raya PBT kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.

Tan dilaporkan menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat tentangan banyak pihak termasuk daripada Umno dan PAS, dengan rata-ratanya berpandangan ia berisiko mencetuskan pergeseran kaum.


Mengulas lanjut, Umno Wilayah Persekutuan berkata, ahli-ahli parlimen yang telah dipilih rakyat di dalam PRU sudah memadai untuk membawa isu atau masalah dihadapi rakyat ke Dewan Rakyat atau kepada PBT.

“Adanya pemilihan PBT menandakan fungsi ahli parlimen tidak efektif kerana ada pertindihan peranan di antara AP dengan ahli PBT yang dipilih.

“Oleh itu, Umno WP ingin menegaskan kepada DAP WP jangan sekali-kali membawa cadangan pilihan raya PBT dan ingin mengingatkan kepada YB Menteri JPM (WP) Dr Zaliha Mustafa sebarang usaha atau gerakan ke arah perkara ini akan dibantah secara keras oleh Umno Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/691283



No comments: