MENGEMBALIKAN NILAI GELARAN YANG HILANG NILAINYA


Hapiz Kodiang


Siapa nak letak gelar al-Azhari, al-Madani, al-Yamani, al-Urduni pada namanya tiada masalah asalkan nisbah itu benar. Berbangga dengan gelar yang dinisbahkan pada pusat pengajian, tempat kelahiran, mazhab dan sebagainya juga tiada masalah. Apa yang menjadi masalah ialah memandang rendah pada orang lain dan tidak membawa manhaj sebenar pusat pengajian atau mazhab yang dipegang.


Selepas puluhan tahun, saya sendiri masih tidak berani untuk membawa gelar al-Azhari. Malah serban Syaikhul Azhar dan kakula (زي الأزهري) pun baru sekarang saya berani pakai. Itu pun selepas melihat adik² junior memakai pakaian itu semasa konvokesyen. Kelihatan gagah dan berkarisma. Pakailah kerana ia merupakan tradisi pakaian universiti dan masyayikh kita. 


Bila pakai, kita kena ingat bahawa nama baik al-Azhar dan tradisi ilmunya sedang dipaparkan kepada umum. Keadaan sekarang jauh berbeza daripada dahulu. Hari ini bilangan lepasan al-Azhar sudah tidak terbilang. Ada yang berkualiti dan sebaliknya.


Nak guna gelaran besar² ini biasanya, bukan kita letak pada diri sendiri. Pihak berautoriti lain seperti ulama sezaman yang memberikannya kepada kita atas pengiktirafan ilmu dan sumbangan kepakaran. Gelaran Imamul Haramain pada Abdul Malik al-Juwayni, Hujjatul islam pada al-Ghazali, Syeikhul Islam pada Zakariyya al-Ansari dan al-Bajuri bukan mereka sendiri yang putuskan. Sebaliknya ulama² lain yang mengiktiraf mereka berdasarkan dhawabit tertentu.


Amat bagus jika DYMM Sultan atau pihak berautoriti agama memberikan gelaran hormat selain Dato' kepada para ilmuan seperti gelaran Syaikhul Islam, Hujjatul Islam, Taqiyyuddin, Sirajuddin, Sultanul Ulama, Shamsul A'immah, al-Allamah, al-Faqih dll agar alim ulama ini dikenali, berbanding Tuan Guru, Maulana yang pada hari ini disebut oleh orang awam tidak dapat membezakan antara ulama dengan khutaba'. Gelaran² ini lebih baik daripada anugerah Tokoh Maulidur Rasul, Tokoh Ma'al Hijrah, Tokoh Ulul Albab dan lain² yang tidak boleh dimasukkan dalam salutasi nama mereka dalam upacara rasmi.


Gelaran² ilmu ini pasti nanti akan lebih bermakna kerana tidak seperti gelan Tan Sri, Dato' Sri, Dato' yang boleh dibeli atau diperolehi atas sumbangan yang kita pun tidak tahu apa yang orang itu buat. Gelaran Tok Guru pun sekarang ini sudah kurang nilai kerana mudah sangat dipanggil. Kita pun hairan, macamana cepat sangat tiba² keluar nama Tuan Guru si fulan bin si fulan. Antara gelaran paling tiada nilai sekarang ialah panggilan "USTAZ".. Habis rosak reputasi ustaz.


Oleh kerana banyak gelaran sudah kurang nilai, maka perlulah ia dikawal oleh pihak autoriti agama di bawah kuasa DYMM dan diberi kepada yang layak. Untuk diiktiraf, perlu diadakan majlis pengujian oleh mahaguru² dan sarjana Islam muktabar seperti viva voce. Pengujian ini lebih tinggi dari ujian tauliah.


Barulah yakin untuk guna gelaran² hebat!


Dr HK, A.M.K

26.12.2023