Oleh: Helmi Mohd Foad
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan hari ini membuat
laporan polis ke atas Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya (gambar,
dua dari kanan) di atas kenyataannya yang dianggap bersifat perkauman
ketika mengulas cadangan pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan di Kuala
Lumpur.
Ketuanya Mohamad Azfar Aza Azhar berkata, kenyataan yang dimuat
naik melalui aplikasi X di akaun Pas Pusat itu jika tidak dibendung boleh
menyebabkan situasi ketegangan kaum di negara ini.
"Kita faham ada yang setuju dan tidak bersetuju dengan isu
pilihanraya kerajaan tempatan tetapi apabila memainkan isu perkauman, menyebut
fakta yang salah, kita lihat dia sebut Parlimen Lembah Pantai dan Bandar Tun
Razak merupakan kawasan majoriti bukan Melayu, ini fakta ke laut," katanya
kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di Balai Polis Setapak, Kuala
Lumpur, petang tadi.
Turut hadir ialah Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai
Chen Heng yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah
Persekutuan.
Terdahulu dalam kenyataannya, Azhar dipetik sebagai berkata, hal
yang dibimbangkan jika pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diadakan akan
berlaku monopoli kaum, khususnya Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala
Lumpur.
Dakwa beliau sebagai bukti Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras Bukit
Bintang, Segambut dikuasai DAP manakala Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai
dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai kaum
selain Melayu.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dari DAP
yang mencadangkan pilihanraya PBT boleh dimulakan di Kuala Lumpur.
Mengulas isu itu, Azfar berkata kenyataan pemimpin Pas itu jelas
cuba melaga-lagakan hubungan antara kaum dan dakwaan tersebut bersifat serius
bertujuan mengancam ketenteraman awam.
"Kenyataan itu juga berbaur fitnah kerana jumlah pengundi di
Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak masih lagi bermajoriti orang Melayu.
"Kami mahu dakwaan tersebut disiasat dan diambil tindakan
sewajarnya di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,
Seksyen 500 kerana membuat jenayah fitnah dan Seksyen 504 kerana membuat
kenyataan bertujuan menggugat ketenteraman awam," katanya.
Dalam pada itu, Andre Lai (gambar, tiga dari kanan)
pula berkata, isu pilihanraya PBT merupakan satu proses demokrasi sama ada ia
dilaksana atau tidak buat masa sekarang, isu perkauman tidak sepatutnya
disebut.
"Ia berbau perkauman dengan sebab perkataan seperti menyebut
perkataan 'akan dikuasai oleh DAP dan kaum bukan Melayu'," ujarnya.