YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim akan meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) kerajaan pada hari Selasa, 2 Januari 2024 ini.
Orang ramai dijemput hadir untuk mendengar sendiri bagaimana PADU akan menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan. Bagi mereka yang ingin menyertai acara peluncuran ini, saudara/i boleh mendaftar di laman https://setahun.ekonomi.gov.my/
Mereka yang tidak dapat menyertai boleh mengikuti acara melalui maya yang akan disiarkan di media sosial bermula jam 10 pagi.
PADU adalah satu pangkalan data sosio-ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran (mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan).
Bagaimana PADU boleh mengurangkan risiko keciciran ini?
1. PADU menggabungkan data dari pelbagai agensi kerajaan untuk membina maklumat lengkap setiap isi rumah – ibubapa, anak, pendapatan setiap isi rumah, tempat tinggal, jumlah tanggungan, jumlah anak bersekolah, kenderaan, harta, setiap bantuan yang diterima, bantuan kerajaan yang layak diterima dan sebagainya
2. PADU menggunakan pendekatan pendapatan boleh belanja (bukannya pendapatan kasar) selepas mengambil kira tanggungan, jumlah isi rumah, kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi dan sebagainya untuk memastikan penilaian yang lebih adil berbanding pendekatan pendapatan mengikut B40-M40-T20
3. PADU membolehkan semak silang data isi rumah untuk mengelakkan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan
Untuk memahami keberhasilan PADU dengan lebih mendalam, orang ramai boleh melayari https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu
PADU adalah komponen utama untuk menjayakan satu dari reformasi utama ekonomi negara iaitu pelaksanaan subsidi bersasar. Kelayakan penerima subsidi bersasar akan ditentukan berdasarkan status sosio-ekonomi isi rumah rakyat Malaysia di dalam PADU.
Selepas diluncurkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 ini, PADU akan dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan dan/atau mengemaskini data isi rumah mereka selama tiga bulan.
Saya akan terus memberi maklumat terperinci mengenai PADU dalam tempoh seminggu ini. Mohon semak berita-berita dan kandungan digital mengenai PADU di semua platform setiap hari untuk mendapat maklumat lanjut.
Sekali lagi saya menjemput orang ramai untuk turut sama dalam acara peluncuran PADU pada 2 Januari ini. Daftar kehadiran anda di capaian https://setahun.ekonomi.gov.my/ untuk memudahkan pengurusan majlis pada hari itu.
Saya mohon orang ramai menyebarkan berita ini untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai PADU dan langkah subsidi bersasar yang akan dilaksanakan dalam tahun 2024 ini.