AGAMA KRISTIAN MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG ISTIMEWA.

 



Muzamal Mus


KUALA LUMPUR: Agama Islam mempunyai hubungan istimewa dengan agama Kristian seperti yang diceritakan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 82.


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hubungan istimewa ini juga diceritakan semasa umat Islam terpaksa berperang dengan penganut Kristian Ortodoks yang bertindak membunuh utusan Islam.


Menurutnya, ketika itu Nabi Muhammad saw melarang panglima-panglima perangnya supaya tidak membunuh perempuan, orang tua, kanak-kanak dan mengganggu paderi-paderi dan pendeta-pendeta yang sedang beribadat di gereja-gereja.


Kisah ini ceritanya, terbukti berlaku apabila sehingga ke hari ini Mesir yang pernah dijajah oleh Rom Byzantin masih mengekalkan kewujudan gereja yang dibina sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw.


“Atas sebab itu apabila tentera Islam masuk ke Syria dan masuk ke Mesir dengan dukungan rakyat menentang penjajah Rom Byzantin masa itu, Nabi haram mengacau paderi-paderi dan pendeta-pendeta.


“Sehingga hari ini di Mesir masih ada gereja yang dibina sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw, di Syria masih ada gereja-gereja sebelum kelahiran Nabi Muhammad ribuan tahun, dan masih ada mereka beribadat di situ.


“Kalau ada juga kerajaan Islam yang bertindak mengacau gereja, ini salah dari segi agama!” ucapnya dalam Majlis Hi-Tea dan dialog Ketua Kristian Katholik dan pimpinan PAS, di Hotel EDC di sini, semalam.


Ulas Tuan Guru Abdul Hadi, Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 5 yang menerangkan orang Islam dihalalkan memakan makanan yang baik bahkan binatang halal yang disembelih dan disediakan oleh golongan ahlil kitab.


“Dia orang Kristian, orang Islam boleh makan sembelihannya. Ini kelonggaran dalam hubungan orang Islam dengan orang Kristian yang nyata dan jelas,” katanya merujuk kepada fekah.


Dalam majlis yang dihadiri oleh Ketua Uskup Agung Kristian Katholik, Julian Leow Beng Kim, Tuan Guru Abdul Hadi berkata penganut Islam percaya bahawa Nabi Isa tidak mati disalib di Israel seperti kepercayaan agama lain.


Malah terangnya, Nabi Isa diangkat ke langit dan akan diturunkan di akhir zaman untuk menyatukan umat Islam dan penganut Kristian mewujudkan keunggulan keamanan sebelum berlaku hari khiamat.


“Kami orang Islam percaya begitu, masalah kamu tidak percaya, Isa disalib itu cerita lain. Bahkan ada Kristian Ortodoks juga percaya bahawa Isa akan turun di akhir zaman dan akan menyatukan umat mewujudkan satu keamanan di dunia di akhir zaman sebelum berlakunya Hari Kiamat,” ucap Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 3/12/2019