Peningkatan gaji sektor awam, isyarat kepada sektor swasta - PM


 Oleh: Abdullah Zaid


Tekad kerajaan meningkatkan kadar upah atau gaji yang lebih bermaruah kepada penjawat awam perlu dijadikan satu isyarat kepada sektor swasta untuk melakukan langkah yang sama.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat-syarikat besar misalnya yang mencatat keuntungan dan produktiviti tinggi digesa untuk meningkatkan gaji pekerja sebagai timbal balik kepada usaha mereka.


"Saya juga minta sektor swasta, ada yang complaint (mengadu) syarikat untung hingga RM400 juta setahun, tapi upah pekerja tak meningkat langsung.


"Jadi saya harap signal yang diberikan oleh (kajian meningkatkan upah) penjawat awam juga disambut sektor swasta yang mencatatkan keuntungan baik," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.


Sementara itu, Perdana Menteri turut optimis semangat yang ditunjukkan oleh kementerian dan penjawat awam dalam menyelesaikan masalah berbangkit sejak Kerajaan Perpaduan mengambilalih pemerintahan negara mampu meletakkan Malaysia di landasan yang terbaik.


Hal itu katanya, masalah yang berbangkit sejak puluhan tahun lalu kini telah mampu diselesaikan oleh kerajaan dalam beberapa bulan sahaja.


"Sebagai contoh, isu 8,600 tandas dapat diselesaikan dalam masa lima bulan. Bermakna jika ada komitmen, tekad dan ikhlas, perkara itu boleh dibuat.


"Oleh itu, dengan pengalaman lama saya dalam kerajaan, jika bawa semangat dalam pimpinan dan penjawat awam, kita boleh cipta sejarah baharu," ujarnya lagi.

No comments: