Tidak kira siapa yang memulakan bicara, sebarang usaha untuk membawa masuk Pas ke dalam kerajaan adalah suatu langkah yang sia-sia serta membuang masa.
Tidak lama sebelum ini, veteran DAP, Lim Kit Siang pernah mencadangkan agar Pas dibawa menyertai kerajaan perpaduan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi terlebih dahulu.
Dalam interbiu dengan sebuah majalah asing baru-baru ini, Anwar Ibrahim pula mendedahkan bahawa bellau pernah mempelawa Pas menyertai kerajaan perpaduan.
Perdana Menteri turut mengatakan beliau tidak menolak Pas akan menyertai kerajaan pada masa depan, bergantung kepada jika parti itu sanggup menerima beberapa dasar utama serta menghormati Malaysia adalah negara berbilang kaum serta agama.
Soalnya, kenapa kita begitu mudah teruja dengan Pas?
Apakah Kit Siang dan Anwar tidak mengambil iktibar daripada pelbagai onar yang ditimbulkan Pas ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu?
Kemudian, tidakkah mereka juga meneliti bagaimana Pas adalah parti yang tidak setia ketika bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional sebelum ini di mana secara diam-diam mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Mahiaddon Md Yasin?
Seterusnya, ketika bersama PN sekarang ini, Pas secara senyap-senyap berbaik dan kerap pula mengadakan perbincangan dengan Tun Mahathir Mohamad, di sebalik Bersatu diketahui umum tidaklah begitu mesra dengan bekas Perdana Menteri itu.
Apakah semua perangai Pas itu tidak memberi iktibar bahawa parti itu lebih patut dijauhi daripada didekati?
Apa faedahnya parti yang tidak setia dan berpendirian tidak stabil begitu yang mahu dibawa ke dalam kerajaan?
Sekurang-kurangnya selagi Pas dipimpinan Hadi Awang, tiada faedah sama sekali untuk berbaik dan membawa mereka ke dalam kerajaan.
Selain itu, ketika Pas berada dalam kerajaan sewaktu era Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, turut terbukti pimpinannya tidak menpunyai paras keupayaan yang baik, jauh sekali memuaskan, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.
Mudah kata, pimpinan Pas, hanya sesuai jadi penceramah dan menjadi pembangkang, bukan pentadbir.
Sebab itu, Hadi Awang amat sesuai jadi duta bertaraf menteri yang tidak perlu masuk pejabat, sebaliknya hanya pergi berceramah, memberi kuliah dan selebihnya hanya duduk di rumah.
Kepada Anwar yang sudah sedia memiliki majoriti dua pertiga, lebih baiklah lupakan saja sebarang niat untuk berbaik dengan Pas dan jangan lagi bercakap untuk membawa mereka ke dalam kerajaan.
Kalau pun beliau ingin mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan atau mahu memecahkan blok pembangkang, jauh lebih berfaedah jika mendekati Bersatu berbanding Pas.
Setidak-tidaknya, tidak banyak parti dalam kerajaan perpaduan yang tidak boleh menerima Bersatu berbanding hampir semua parti dalam kerajaan sekarang secara umum diketahui menolak Pas.
Menimbul-nimbulkan hasrat untuk membawa Pas ke dalam kerajaan hanya akan membuatkan parti-parti yang bersama dalam kerajaan jadi curiga.
Tetapi, yang lebih penting mengapa Pas perlu dijauhi ialah kerana parti itu sudah ada Tun Mahathir yang mereka lantik sebagai penasihat kepada empat negeri yang ditadbirnya.
Jadi, biarkan saja Pas kekal sebagai pembangkang serta timbul dan tenggelam bersama sosok yang suka khianat dan tidak berpegang kepada janji itu. – ShahbudinHusin 16/10/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/10/16/pas-sudah-ada-tun-mahathir-jangan-buang-masa-nak-bawanya-sertai-kerajaan.html