Siapa yang patut kita undi pada pilihan raya akan datang?

 


Kita kini perlu mempertimbangkan pelbagai faktor yang lebih luas dalam menjadi pengundi yang lebih berpengetahuan






ANIL NETTO/ALIRAN

Pilihan raya yang sengit dipertandingkan di enam negeri telah berakhir.

Seperti dijangka, kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional mengukuhkan cengkamannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pelbagai analisis telah mengkaji lonjakan undi Melayu-Islam kepada PN serta pengukuhan sokongannya. Mereka juga melihat kesan daripada keputusan ini kepada “kerajaan perpaduan” Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rundingan pasca pilihan raya di mana wakil parti akan menerajui pelbagai kerajaan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana calon dan parti yang menang menjangkakan akan diberi ganjaran dengan jawatan dalam kerajaan negeri.

Pengundi kini akan mengharapkan pemenang untuk memenuhi janji pilihan raya mereka. Dalam kempen dua minggu itu, ahli politik dari pelbagai gabungan telah berjanji untuk meningkatkan ekonomi dan memperbaiki keadaan hidup.

Naratif yang berterusan sepanjang kempen ialah kepentingan dalam mereformasi sektor utama ekonomi di peringkat persekutuan dan negeri.

Selepas perbahasan dan perbincangan sengit yang dicetuskan oleh pilihan raya umum 2018 dan 2022, kini kita perlu meneruskan wacana ke arah isu khusus dalam setiap negeri.

Ini memerlukan pemahaman yang dalam tentang persempadanan antara kuasa kerajaan persekutuan dan negeri.

Untuk ekonomi terus berkembang maju, penyelarasan dan kerjasama yang lebih erat antara peringkat tadbir urus persekutuan dan negeri diperlukan.

Seorang rakan mengemukakan soalan yang penting pada hari pengundian: “Kebanyakan orang mengundi dengan harapan bahawa kerajaan akan membantu memperbaiki keadaan dari segi ekonomi. Tapi bagaimana anda memutuskan parti mana yang layak mendapat undi anda?

Mereka semua cuba melakukan perkara untuk menjadikan diri mereka kelihatan baik apabila mereka memerlukan undian, tetapi selepas mereka menang, adakah mereka akan terus melakukan perkara yang sama?”

Soalan ini pastinya relevan kepada ramai di antara kita.

Tetapi pertelagahan yang telah merosakkan negara telah mendominasi perbincangan selepas pilihan raya mengenai masa depan Malaysia.

Ia menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah yang telah menghalang trajektori ke hadapan kita ke arah demokrasi yang sihat? Adakah kita bergerak ke arah yang betul?

Memutuskan siapa yang hendak diundi adalah tanggungjawab yang besar. Ia memerlukan kita untuk mempertimbangkan gabungan pelbagai faktor sebelum kita membuang undi.

Menambah kebimbangan kita bersama ialah persoalan ekonomi yang menyeluruh. Adakah undi kita akan meningkatkan kesejahteraan jangka panjang rakyat secara holistik?

Lebih banyak soalan yang mendesak terus berlarutan. Kepada siapa kita percayakan undi kita dalam pilihan raya akan datang? Apakah prinsip yang akan membimbing pilihan kita?

Patutkah kita menjadi lebih strategik dalam berikrar taat setia kepada mana-mana calon yang diletakkan oleh parti politik atau gabungan pilihan kita?

Atau patutkah kita mengundi mereka yang kita fikir boleh meningkatkan kualiti hidup kita?

Secara dasarnya, ia adalah soal membuat pilihan dengan penuh kefahaman selepas mempertimbangkan pelbagai faktor.

Peratusan keluar mengundi yang besar dalam pilihan raya negeri baru-baru ini adalah bukti penglibatan sivik di Malaysia. Ia sesuatu yang boleh dibanggakan.

Kita telah melalui pergolakan serta ketidaktentuan politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kita kini perlu mempertimbangkan pelbagai faktor yang lebih luas dalam menjadi pengundi yang lebih berpengetahuan dalam pilihan raya akan datang.

Khoo Ying Hooi
Editor bersama, surat berita Aliran
15 Ogos 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme