DUA NEGERI PN TOLAK GUNA LOGO, TEMA ALTERNATIF BAGI SAMBUT HARI MERDEKA

 

Dua negeri di bawah tadbiran PN akhirnya membuat keputusan akan menggunakan logo dan tema yang sama dengan Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Dua negeri berkenaan ialah Terengganu dan Kelantan.

Dengan pendirian tersebut, ia bermakna kedua-dua negeri itu menolak cadangan Pemuda PN agar negeri-negeri tadbiran gabungan itu menggunakan logo dan tema yang berbeza dengan kerajaan pusat.

Dua hari lalu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar mengumumkan, kerajaan negeri pimpinannya akan menggunakan logo dan tema yang selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Beliau berkata, persiapan bagi sambutan ulang tahun hari bersejarah yang akan diraikan di peringkat negeri itu telah diatur dan diteruskan seperti biasa.

Hari ini pula kerajaan Kelantan membuat pendirian yang sama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamad Fadzil Hassan berkata, kerajaan negeri itu yang diterajui PAS tidak akan menggunakan tema dan logo alternatif sebagaimana dicadangkan oleh Pemuda PN.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka akan menggunakan tema yang sama seperti diputuskan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Kelantan akan kekalkan tema sambutan Hari Kebangsaan sebagaimana ditetapkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan gunakan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang ditambah dengan perkataan “Membangun Bersama Islam”

“Kita juga guna logo yang sama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Dengan ini, wajar diucapkan tahniah kepada kepimpinan kerajaan Terengganu dan Kelantan atas sikap kematangan dan pemahaman mereka berkaitan sambutan Hari Kebangsaan.

Kedua-dua kerajaan negeri juga nampaknya sedar bahawa sambutan Hari Kebangsaan bukanlah acara politik dan tidak wajar dipolitikkan untuk meraih laba politik yang hanya mengundang bibit-bibit perpecahan.

Bagaimanapun, dua lagi negeri yang ditadbir PN iaitu Perlis dan Kedah masih belum membuat sebarang pengumuman atau keputusan berkenaan perkara tersebut.

Apakah mereka juga akan menuruti langkah Terengganu dan Kelantan?

Atau mereka akan menerima cadangan Pemuda PN? – ShahbudinHusin 23/08/2023.



No comments: