Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan ditahan bagi membantu siasatan memuat naik kandungan di media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada Tan Sri Lim Kit Siang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, dekat George Town 13 Jun lepas.
"Pada 7 Jun 2023, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.
"Susulan itu, pada 13 Jun 2023 pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kandungan di media sosial berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.