Kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula kad diskaun
pelajar institut pengajian tinggi (IPT), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup.
Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata cadangan itu adalah usaha
membantu mengurangkan beban dan menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Pada sidang akhbar Program Jelajah Rahmah dan Townhall Menteri
KPDN Bersama Rakyat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Seri
Iskandar pada Sabtu, beliau menjelaskan perbincangan mengenainya akan dilakukan
bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa
terdekat.
"Ini kerana ia berada di luar bidang kuasa saya tetapi idea
itu boleh dipanjangkan sepertimana banyak program Rahmah dilaksanakan untuk
siswa seperti menu makanan berharga di bawah RM5.
"Program-program ini diadakan untuk memudahkan mereka
mendapatkan makanan di universiti, malah ada 'food bank' untuk mereka yang
memerlukan mendapatkan barangan tertentu secara percuma," katanya
Sebelum ini, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) direka untuk
berfungsi sebagai kad debit, ATM dan diskaun hingga 60 peratus untuk pelbagai
produk bagi penuntut IPT.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata kerajaan turut bercadang
meneruskan Jualan Rahmah di kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di
seluruh negara secara bergilir-gilir bagi membantu mengurangkan kos sara hidup
rakyat.