SEMUA PARTI PERNAH BERKAWAN DENGAN DAP, APA SALAHNYA AHMAD MASLAN MENJIWAI PERSAHABATAN?


Berikutan kenyataan Ahmad Maslan yang meminta ahli UMNO mengundi calon PH, termasuk daripada DAP dalam PRN akan datang, riuh-rendah orang memberi respon mengenainya macamlah Timbalan Menteri Kewangan itu telah melakukan satu dosa yang sangat besar.


Dalam keadaan UMNO sudah berada dalam kerajaan perpaduan bersama PH yang memang ada DAP di dalamnya, hakikatnya kenyataan Ahmad Maslan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.


Adalah normal sebenarnya bagi sesebuah parti untuk menyokong atau memberi undi kepada parti rakan yang sama-sama berada dalam kerajaan, meskipun sebelumnya pernah bermusuh selama bertahun-tahun.


Bukankah dalam politik tiada kawan yang abadi dan tiada musuh yang kekal?


Lebih menjengkelkan lagi bila mana mereka yang mempertikaikan itu sendiri pernah berkawan dengan DAP sebelum ini.


Dalam politik negara ini, kalau mahu dikira, DAP adalah parti rebutan atau ibarat dara pingitan kepada semua parti utama yang ada.


Dengan UMNO akhirnya berkawan dengan DAP melalui pembentukan kerajaan perpaduan dengan PH, maka lengkaplah semua parti utama di negara ini pernah berkawan dengan parti tersebut.


PKR, Pas, Semangat 46 (sudah dibubarkan), Bersatu dan UMNO yang terakhir, semuanya menjadikan DAP sebagai rakan untuk melengkapkan erti sebuah perjuangan.


Sementara Anwar masih kekal dan paling setia berkawan dengan DAP, Tun Mahathir Mohamad, Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mahiaddin Md Yasin, semuanya pernah bersama dengan DAP sebelum ini.


Tidak kira sama ada ketika berkawan itu mereka pernah membuat kenyataan atau seruan agar ahli parti masing-masing mengundi calon DAP atau tidak, kebersamaan yang pernah tercatat itu tetap merupakan sejarah yang tidak boleh dipadamkan begitu saja.


Apa bezanya antara menyeru ahli parti mengundi calon DAP dengan mereka yang sebelum ini sering sepentas dan berpelukan dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng?


Sebenarnya tiada beza sama sekali, malah berpelukan di khalayak ramai itu lebih dahsyat lagi isyarat sayangkan DAP berbanding kenyataan Ahmad Maslan yang sekadar menyeru agar ahli-ahli UMNO memberi undi kepada calon PH, termasuk daripada DAP atas nama dan semangat kerajaan perpaduan yang sudah pun terbentuk kewujudannya sekarang ini.


Adalah diakui bahawa DAP merupakan parti pilihan masyarakat Cina di mana pada PRU15 lalu mereka berjaya memenangi 40 kerusi Parlimen berbanding MCA yang hanya menang dua kerusi saja.


Dengan demikian, membawa DAP bersama dalam kerajaan bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia adalah pilihan yang tepat dengan maksud ia tidak meminggirkan pilihan kaum Cina yang merupakan kaum kedua terbesar selepas Melayu di negara ini.


Cuma, sesetengah pihak melihat tindakan Ahmad Maslan itu sebagai janggal berdasarkan sejarah perjuangan UMNO yang bermusuh sekian lama dengan DAP.


Tetapi, apabila seseorang pemimpin itu keluar UMNO seperti pernah berlaku kepada Tengku Razaleigh, Tun Mahathir dan Mahiaddin misalnya, tindakan mereka berkawan dengan DAP boleh pula diterima, bahkan dianggap sebagai keperluan untuk tujuan memenangi pilihan raya serta menumbangkan BN.


Oleh kerana dunia sudah berubah, persahabatan antara UMNO dan DAP juga sepatutnya harus diterima sebagai keperluan untuk membentuk dan mengekalkan kerajaan.


Dengan UMNO bersama PKR dan Amanah sudah dikira mewakili komuniti Melayu, melibatkan DAP bererti melengkapkan lagi kemajmukan kerajaan perpaduan ini dengan wajah Malaysia yang sebenar.


Kedudukan ini jika dijaga dengan baik serta dalam masa yang sama diberi kefahaman yang betul kepada masyarakat, ia adalah resepi yang sebaik-baiknya dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.


Kepada yang keliru dan tertanya-tanya, itulah sebabnya dalam artikel sebelum ini saya mengucapkan syabas atas kenyataan Ahmad Maslan itu kerana beliau sebetulnya sangat menjiwai erti persahabatan bila lawan sudah bertukar menjadi kawan. – ShahbudinHusin 21/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: