APAKAH AMARAN KIT SIANG BERMAKSUD DAP AKAN KELUAR KERAJAAN JIKA NAJIB DIBEBASKAN?


 Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi amaran bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim boleh runtuh sekiranya bekas Perdana Menteri, Najib Razak dibebaskan melalui pengampunan diraja.

Menjelaskan pendapatnya itu, beliau melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Anwar ketika ini lebih bersifat dalaman daripada luaran.

“Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa UMNO hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib dikeluarkan daripada penjara.

“Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sama sekali tidak memberi keuntungan kepada UMNO, tetapi hanya akan menguntungkan Pas dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan kerajaan perpaduan yang sedang dipimpin Anwar,” kata Kit Siang pada satu kenyataan hari ini.

Apakah yang dimaksudkan bekas Pengerusi DAP itu dan bagaimana kerajaan perpaduan boleh runtuh disebabkan bebasnya Najib?

Dengan Kit Siang mengatakan pembebasan Najib hanya akan menguntungkan Pas dan Bersatu, keruntuhan paling mudah yang dipercayai ramai boleh berlaku adalah disebabkan penolakan rakyat terhadap PH dalam PRU16 akan datang.

Berdasarkan sentimen majoriti rakyat yang tidak setuju dengan pembebasan Najib, membebaskan bekas Perdana Menteri yang terkait dengan skandal 1MDB serta belum pun setahun menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun yang diterimanya, ia secara langsung bermakna PH tidak bertindak selari dengan keinginan rakyat.

Akibatnya, rakyat pasti akan menghukum PH kerana kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dipercayai berperanan membantu pembebasan Najib itu.

Jika itu berlaku, sebagaimana disebut Kit Siang, Pas dan Bersatulah yang akan untung.

Keruntuhan itu tidak berlaku dalam waktu terdekat ini, sebaliknya pada PRU16 yang dijangka kira-kira empat tahun lagi.

Tetapi, apabila Kit Siang memberi amaran terbuka bahawa pembebasan Najib akan menyebabkan keruntuhan kerajaan, secara tersirat ia juga sebenarnya adalah isyarat bahawa DAP tidak setuju dan menentang perkara itu.

Dalam pembentukan kerajaan perpaduan ini, sementara PH mempunyai 82 kerusi, 40 daripada adalah milik DAP.

Ini bermakna, daripada jumlah 148 sokongan Ahli Parlimen yang dimiliki kerajaan perpaduan sekarang, ia akan runtuh jika DAP bertindak keluar disebabkan tidak setuju dengan pengampunan terhadap Najib.

Adalah jelas bahawa DAP lebih bahaya daripada UMNO dan BN yang mempunyai 30 Ahli Parlimen yang mana baru-baru ini MT UMNO memutuskan untuk menghantar memorandum kepada Istana Negara bagi pembebasan Najib.

Adakah ini bermakna Kit Siang sebenarnya sedang memberi amaran kepada Anwar tentang bahaya yang bakal menanti jika Najib dibebaskan? – ShahbudinHusin 15/04/2023.




No comments: