Dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar telah ditahan dan kini sedang direman oleh pihak SPRM.
Siasatan ke atas mereka adalah berkaitan penubuhan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian yang mana mereka dikatakan mempunyai konflik kepentingan dengannya.
Dikatakan juga pembabitan dua pegawai berkenaan melibatkan rasuah yang dianggatkan berjumlah RM97 juta.
Penahanan dua pegawqi terbabit dalam tempoh tidak sampai enam bulan kerajaan perpaduan bertunjangkan Malaysia Madani yang disertai dengan penegasan berkali-kali oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah, sudah tentu sesuatu yang amat mengejutkan.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya tiga petunjuk dapat diambil daripada penahanan tersebut:-
Pertama, ia membuktikan arahan Anwar kepada SPRM untuk memerangi rasuah tidak memilih bulu dan tidak kenal sama ada kawan atau lawan.
Siapa juga yang didapati melakukan kesalahan, tiada pintu selamat untuk mereka menyelamatkan diri.
Tidak kira ianya lawan yang sebelum ini menguasai kerajaan atau kawan yang sekarang sama-sama mentadbir kerajaan, mereka tidak akan terlepas daripada teropong SPRM jika terbabit dengan rasuah.
Ini adalah sesuatu yang boleh dipuji, dibangga dan diberi penghargaan.
Malah diharapkan SPRM terus melipatgandakan lagi usaha memerangi rasuah di peringkat tertinggi kerajaan sebagaimana dilakukan terhadap dua pegawai kanan di Kementerian Sumber Manusia ini.
Kedua, penahanan berkaitan kes rasuah dalam tempoh tidak sampai enam bulan kerajaan perpaduan ditubuh dengan sendirinya menunjukkan masih ada mereka yang berada dalam kerajaan tidak memiliki jiwa membenci rasuah seperti Anwar.
Mereka nampaknya tidak takut melakukan rasuah dan lebih cenderung menurut hawa nafsu dalam tugas yang diamanahkan.
Sepatutnya apabila Najib Razak, bekas Perdana Menteri pun boleh dipenjara kerana rasuah, ia menjadi pengajaran kepada orang biasa, ikan bilis atau ikan kembung yang berada di anjung kuasa untuk menjauhi perbuatan jijik itu.
Ini juga bermakna, Anwar dan seluruh menteri kabinet harus melipatgandakan lagi usaha memberi kesedaran dan usaha memerangi amalan rasuah dalam kerajaan dan juga negara.
Ketiga, penahanan dua pegawai kanan menteri itu hendaklah menjadi peringatan kepada semua pegawai dan kakitangan menteri-menteri lain agar jangan sesekali mendekati rasuah.
Bukan lagi rahsia bahawa pegawai di sekeliling menterilah yang paling terdedah kepada amalan rasuah kerana mereka kerap berurusan dengan ahli perniagaan yang mencari projek, selain senarai projek-projek itu sendiri selalunya memang terbentang di depan mata mereka.
Kalau gelap mata, tamak, tidak amanah dan ingin kaya cepat, di samping tidak kuat iman, pasti mudah terjebak dengan kejahatan itu.
Tidak sedikit selama ini ramai pegawai menteri yang kaya dan mewah kehidupan mereka.
Tetapi, dengan tindakan SPRM terhadap dua pegawai V Sivakumar ini, semua pegawai-pegawai menteri bukan saja harus berhati-hari, bahkan sebaiknya berhenti segera daripada ada keinginan untuk melakukan rasuah.
Di bawah kepimpinan Anwar, isyarat yang jelas ialah, tiada kompromi terhadap sesiapa jua yang didapati terbabit rasuah.
Mereka hendaklah bekerja dengan jujur dan amanah demi rakyat, bukan demi poket sendiri. – ShahbudinHusin 15/04/2023.