Dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO yang baru memasuki gear dua ketika ini, sebagaimana ditulis dalam artikel sebelumnya, nampaknya kemungkinan wujud dua kelompok kategori semakin menjadi paparan yang nyata.
Kelompok tersebut ialah pertama, yang pro kepada Presiden serta Timbalan Presiden atau dipanggil kumpulan kanan dan kedua, yang tidak memihak kepada dua pemimpin teratas yang telah diumumkan menang tanpa bertanding atau dikenali sebagai kumpulan kiri.
Di media sosial kini berlegar satu poster yang memaparkan calon-calon kumpulan kanan yang akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden.
Mereka ialah Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin; Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said.
Gambar ketiga-tiga calon berkenaan dipaparkan sekali dengan wajah Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan sebagai gambaran Top 5 UMNO untuk penggal 2023-2026.
Ini bermakna, lima lagi calon yang turut bertanding jawatan Naib Presiden secara automatik tidak termasuk dalam kumpulan kanan yang pro Presiden dan Timbalan Presiden.
Begitu pun, berdasarkan penelitian terbuka, daripada lima calon berkaitan itu, kumpulan kiri adalah dianggotai bekas Menteri Kewangan Kedua, Johari Ghani; bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican dan bekas Menteri Besar Johor, Hasni Mohamed.
Dua lagi calon, bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Mahadzir Khalid serta ahli UMNO biasa daripada Iskandar Puteri, Yusof Musa Jamaluddin dilihat sebaga calon berkecuali atau bertanding secara solo.
Apakah ini sesuatu yang sihat buat UMNO?
Apa yang semua ahli-ahli UMNO, khususnya perwakilan yang bakal mengundi pada 18 Mac nanti harus sedar ialah UMNO bukanlah parti yang menang atau berprestasi lebih baik berdasarkan keputusan PRU15 lalu.
Sebaliknya, dengan 54 kerusi Parlimen dimenangi pada PRU14, tetapi hanya 26 kerusi pada PRU15 lalu, ini bererti kepimpinan UMNO sedia ada telah gagal dan langsung tidak cemerlang.
Walaupun hukum kepada kegagalan sepatutnya adalah berundur diri, tetapi Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan sebaliknya dihadiahkan pula dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang sedang mereka pegang dilarang daripada ditandingi.
Apa punya partilah macam ini?
Dengan itu, kalau kemenangan tanpa bertanding Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan itu disusuli lagi dengan hadiah iringan jawatan tiga Naib Presiden juga memihak kepada mereka, ini adalah petanda paling tak guna bagi masa depan UMNO.
Apakah, daripada 26 kerusi Parlimen yang ada sekarang, UMNO hanya mahu menang 6 kerusi Parlimen saja pada PRU16 akan datang?
Sebagaimana monopoli tidak baik kepada pengguna dalam perniagaan, monopoli dalam politik juga memberi kesan buruk yang sama.
Rakyat tidak akan melihat UMNO sebagai sebuah parti yang baik dan terbuka kepada perbezaan jika satu kumpulan saja memonopoli jawatan-jawatan utamanya.
Oleh kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sudah dimenangi secara percuma, pengisian bagi Naib Presiden seharusnya dipastikan lebih terbuka.
Untuk dilihat progresif, jawatan Naib Presiden itu, kalau pun tidak ketiga-tiganya, sekurang-kurangnya dua daripadanya harus dimenangi oleh kumpulan yang berbeza pemikiran dengan Presiden dan Timbalan Presiden.
Kalau ketiga-tiganya sekali jatuh kepada kumpulan yang berbeza dengan Presiden dan Timbalan Presiden, itulah sebenarnya yang TERBAEKK, petunjuk kematangan dan suatu isyarat bahawa UMNO masih ada masa depan yang boleh diharapkan.
Begitu juga dengan jawatan MT, adalah lebih baik jika daripada 25 kerusi MT yang dipertandingkan, 15 atau 20 daripadanya dimenangi bukan pemimpin yang hanya tahu memuji dan mengampu Presiden saja.
Makanya, sebarang kempen untuk cuba memenangkan blok pro Presiden dan Timbalan Presiden dengan alasan memudahkan parti diuruskan berasaskan kestabilan hendaklah dikutuk dan dikecam.
Sedarlah bahawa UMNO, selain tidak menang, juga turut menerima keputusan terburuk dalam sejarah perjuangannya pada PRU15 lalu.
Untuk itu, pemikiran yang terbuka dan perbezaan pendapat hendaklah sentiasa diberi ruang seluas-luasnya.
Hanya dengan keterbukaan kepada keberanian melontarkan pemikiran yang berbeza saja mampu menjelmakan keputusan yang berbeza.
Jika semuanya sealiran dan bersifat dimonopoli, kekalahan tidak akan dapat diperbaiki dan melalui sekelumit hasil perang yang ada, semua yang ada jawatan hanya akan sibuk untuk saling berebut serta ghairah mengampu dan memuji sesama sendiri.
Dalam hal ini juga, tidak perlu sampai Presiden harus pergi ke setiap majlis pengenalan calon di negeri-negeri kerana langkah itu lebih dilihat sebagai petunjuk kecenderungan beliau untuk memastikan cainya saja beroleh kemenangan.
Ditimpa kekalahan dan perlu kekuatan untuk bangkit, UMNO mesti dielakkan daripada menjadi parti monopoli – bukan saja untuk Naib Presiden, tetapi kerusi MT juga harus dimenangi oleh majoriti mereka yang berani dan tidak takut bersuara. – ShahbudinHusin 06/03/2023.