Rafizi jangka rundingan PH-BN di Negeri Sembilan lebih mudah muktamad

 


Rafizi Ramli berkata, Aminuddin Harun dan Mohamad Hasan
 digambarkan sebagai ‘watak senang dibawa berbincang’ dalam
 rundingan kerjasama antara PH dan BN.

PETALING JAYA: Rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka boleh dimuktamadkan dengan mudah, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata, tiada isu besar yang boleh menjejaskan kerjasama, termasuk berkaitan agihan kerusi kerana kekuatan setiap parti, kawasan tumpuan, dan peluang kemenangan masing-masing adalah agak jelas dan lebih mudah ditentukan.

“Tidak ada sangat hendak bertelingkah,” katanya lapor Utusan Malaysia. “Tidak banyak sangat (kerusi) bertindih seperti tempat lain.”

Rafizi berkata, kehadiran Naib Presiden PKR Aminuddin Harun, yang juga menteri besar Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang juga bekas menteri besar, membantu rundingan kerjasama itu.

“Kedua-duanya watak yang senang dibawa berbincang,” katanya.

Negeri Sembilan belum membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk membuka laluan kepada PRU15 peringkat negeri. Negeri lain adalah Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Kelantan, dan Terengganu.

Pada PRU14, PH memenangi 20 kerusi daripada 36 kerusi DUN, dan bakinya diraih BN.

No comments: