MENJAWAB PERSOALAN MENGAPA SAYA BERIA-IA MAHU JAWATAN PRESIDEN UMNO DIPERTANDINGKAN

 

Artikel saya sebelum ini yang bertajuk “Zahid Hamidi, Tok Mat Sah Penakut” nampaknya mendapat respon kurang menyenangkan daripada kedua-dua pihak – UMNO dan juga PH – secara serentak.

Di pihak UMNO yang pro kepada Zahid Hamidi, mereka menyoal kenapa saya mempertikaikan usul tiada pertandingan yang diluluskan PAU2022 semalam, sedangkan ia adalah kehendak perwakilan, bukan keinginan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Seterusnya, mereka juga mengaitkan dengan Anwar Ibrahim, Mahiaddin Md Yasin dan Hadi Awang yang turut memenangi jawatan menerajui parti masing-masing tanpa pertandingan.

Bagi mereka yang menyokong PH, tulisan saya itu turut dipertikaikan, kononnya saya cuba menggugat kestabilan kerajaan perpaduan yang mana UMNO merupakan sebahagian daripadanya.

Tulisan saya yang tidak setuju dengan usul tiada pertandingan dalam UMNO itu dikaitkan juga dengan pencabar Zahid Hamidi dan Tok Mat yang kononnya mungkin pro kepada PN serta Mahiaddin.

Apa tujuan tulisan saya bersungguh-sungguh agar ada pertandingan dalam UMNO, demikian soal mereka.

Biar saya jelaskan begini – saya adalah penulis bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, tidak dibayar oleh sesiapa dan tidak menyertai mana-mana parti, walaupun pernah memegang beberapa jawatan di peringkat bahagian dan negeri dalam UMNO sehingga 2009 yang lalu.

Sebagai penulis, saya menulis berdasarkan isu semasa dalam negara, mengikut gerak hati dan ingin berkongsi pemikiran dengan pembaca.

Saya mula mengambil keputusan mengkritik UMNO sejak 2011 berikutan ada yang saya rasa tidak betul dalam era kepimpinan Najib Razak ketika itu di mana beliau seolah-olah tidak belajar daripada kemerosotan sokongan, diikuti kejatuhan yang menimpa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum itu.

Sejak itu, sokongan saya hampir tuntas terhadap kemampuan yang ada pada Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kepimpinan negara ini.

Meski Perdana Menteri banyak bertukar ganti selepas kejatuhan Najib, keyakinan saya tetap konsisten terhadap Anwar dan semua Perdana Menteri sebelum Anwar iaitu Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob, sentiasa menjadi sasaran kritikan saya.

Jadi, untuk mengatakan tulisan saya yang mahu melihat berlaku pertandingan dalam UMNO sebagai bertujuan menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sudah tentu tidak masuk akal dan tersasar daripada kebenaran.

Sebaliknya, tujuan saya agar berlaku pertandingan ialah untuk melihat imej yang lebih baik kepada kerajaan perpaduan melalui keabsahan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO setelah memenangi jawatan itu melalui pertandingan.

Selagi jawatan ZahidHamidi tidak diabsahkan melalui pertandingan, tambahan sebelum ini UMNO telah menunda tarikh pemilihan dan meminda perlembagaan agar pertandingan hanya berlaku selepas PRU, selagi itulah kedudukan beliau menjadi pertikaian yang terbuka.

Daripada segi moralnya, apabila pemilihan ditunda dan perlembagaan dipinda bagi maksud yang sama, tentulah tujuannya agar pemilihan tidak lagi menjadi masalah selepas PRU berakhir.

Bersama kedudukan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya yakin sepenuhnya beliau mampu memenangi jawatan itu jika berlaku pertandingan.

Saya bahkan telah menulis mengenai perkara itu sebelum ini – https://shahbudindotcom.net/2023/01/05/mustahil-zahid-hamidi-boleh-kalah-kenapa-perlu-takut-dengan-lawan-yang-tiada-jawatan.html

Sebab itu, saya tidak faham mengapa Zahid Hamidi takut dan mengelak jawatannya dipertandingkan.

Hanya setelah menang sebagai Presiden UMNO melalui pertandingan saja yang dapat menutup mulut semua pengkritik mengenai kepimpinan dan keberadaan Zahid Hamidi memimpin UMNO.

Tetapi sekarang, walaupun kerajaan perpaduan ini tidak mungkin lagi tergugat kerana keabsahan Anwar sudah disahkan di Parlimen, bahkan parti-parti yang mendokong kerajaan juga telah menandatangani perjanjian mengukuhkan kerjasama, namun imejnya tetap tidak begitu baik berikutan ketidakberanian Zahid Hamidi menguji keabsahannya sebagai Presiden UMNO.

Lihat Anwar, bukankah setelah beliau berani menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen, tiada lagi suara-suara mempertikaikannya?

Apa yang kita mahu, bila Zahid Hamidi untuk berlawan dan kemudian menang, beliau dengan sendirinya dapat mengukuh dan membantu memberi imej yang lebih baik kepada kerajaan perpaduan ini.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana jika Zahid Hamidi tewas?

Dengan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, lekeh sangatlah jika Zahid Hamidi tidak mampu menang berlawan dengan mereka yang tiada jawatan dalam kerajaan.

Sudah diberi jawatan yang baik dalam kerajaan, pandai-pandailah!!

Kepada pihak yang pro Zahid Hamidi dan Tok Mat, permintaan saya cuma satu – jangan malu menerima hakikat bahawa usul tambahan agar tiada pertandingan itu adalah dibawa oleh perwakilan daripada UMNO Bahagian Rembau yang diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO.

Adakah jika perwakilan Rembau yang membawa usul berkenaan, logikkah yang mahu tiada pertandingan itu ialah Hishammuddin, Ismail Sabri atau KJ yang sudah berpindah ke UMNO Sungai Buloh?

Juga tidak kena untuk mengaitkan kedudukan Anwar, Mahiadddin dan Hadi Awang yang menang sebagai Presiden parti masing-masing tanpa pertandingan dengan Zahid Hamidi yang mahu diberi kemenangan percuma melalui usul yang diluluskan itu.

Anwar, Mahiaddin dan Hadi Awang menang jawatan masing-masing kerana tiada siapa mahu melawan mereka lantaran masih diyakini kepimpinannya, bukan kerana ada ketetapan melalui usul yang melarang sesiapa melawannya. – ShahbudinHusin 15/01/2023.



No comments: