SAYA ANGKAT TANGAN MENGAKU SALAH, SAYA DENGAN INI AKUR ANWAR PERLU LUANGKAN MASA JUMPA TUN MAHATHIR SELEPAS 19 NOV NANTI


 Hari ini saya ingin membuat suatu pengumuman penting – saya dengan ini angkat tangan, mengaku kalah dan menarik balik semua penegasan dalam beberapa tulisan kebelakangan ini yang condong agar Anwar Ibrahim tidak melayan keinginan Tun Mahathir Mohamad untuk bertemu dengannya.

Tidak cukup dengan membuat saranan sedemikian, saya turut membuat kesimpulan bahawa sokongan Tun Mahathir tidak diperlukan lagi untuk Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri, malah kerjasama politik yang diingini itu hanyalah untuk menyelamatkan nyawa politik GTA semata-mata

Setelah menerima pelbagai respon dan reaksi, saya mendapati tulisan-tulisan saya itu agak keterlaluan dan sangat beremosi.

Dengan itu, setelah berfikir panjang, saya merasakan perlu untuk membetulkannya demi masa depan negara ini.

Kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyebut pembangkang sepatutnya bekerjasama agar dapat memaksimumkan kekuatan untuk mengalahkan UMNO dan BN, sebenarnya adalah sesuatu yang tepat dan membantu menyedarkan saya.

“Tiada sebab tidak boleh bekerjasama kerana matlamat perjuangan kita adalah sama,” tambahnya.

Lantaran itu, sebagaimana Khalid, saya juga akhirnya tidak faham dengan pendirian PKR dan Anwar yang menolak mentah-mentah untuk bekerjasama, malah bertemu dengan Tun Mahathir.

Saya juga setuju dengan kenyataan Khairuddin Abu Hassan, salah seorang pemimpin GTA yang mengingatkan PH agar jangan bersikap angkuh kerana menolak begitu saja keinginan Tun Mahathir untuk berjumpa itu.

Beliau berkata, semua pihak harus mementingkan agenda untuk menguburkan UMNO/BN buat selama-lamanya kerana pemimpin-pemimpinnya tidak pernah insaf dan masih bersifat kleptokrat.

Yang penting, tambah Khairuddin lagi, biarlah Tun Mahathir bertemu dan berbincang dengan Anwar terlebih dahulu.

Selain itu, saya tidak ketinggalan diberi mesej pesanan ringkas oleh seorang penyokong Tun Mahathir yang berbunyi – jangan terlalu sombong.

Penyokong tersebut menambah lagi, Tun Mahathir ingin berbuat sesuatu yang baik untuk negara melalui tawaran kerjasama yang dihulurkannya kepada Anwar itu.

“Jadi, kenapa harus bersikap terlalu sombong sampai enggan berjumpa?” soalnya lagi.

Di waktu yang sama, banyak pula respon dan reaksi tambahan yang saya terima lebih menjurus kepada mahu terwujudnya kerjasama antara semua parti pembangkang, khususnya antara Anwar dengan Tun Mahathir.

Kata mereka, hanya dengan cara itu saja UMNO/BN dapat dikalahkan.

Lagi pun, apa salahnya Anwar bertemu dahulu dengan Tun Mahathir, demikian kebanyakan respon yang saya terima.

Semua reaksi yang saya baca dan terima itu secara perlahan-lahan telah memberi kesedaran kepada saya daripada keterlanjuran yang jika dibiarkan, mungkin berlarutan sampai bila-bila.

Maka itu, setelah memikir panjang sambil menghirup kopi panas dua tiga cawan dengan tenang, saya akhirnya sedar bahawa saya agak keterlaluan dan semacam anti perpaduan.

Saya ingin membetulkan semua kesilapan sebelum ini dan dengan itu, secara terbuka serta sukarela bersetuju agar Anwar melapangkan sedikit masanya untuk bertemu dengan Tun Mahathir.

Anwar, lupakan segala perasaan yang ada dalam hati, jumpa serta bincanglah elok-elok dengan Tun Mahathir.

Buang yang keruh, ambillah yang jernih.

Tetapi…jumpalah hanya selepas 5 November nanti.

Jangan sesekali meluangkan masa berjumpa Tun Mahathir sebelum 5 November.

Lebih elok lagi jika perjumpaan itu diadakan selepas 19 November nanti, mana tahu ia dapat pula diadakan di Bangunan Perdana Putra atau Sri Perdana, dua tempat yang pernah diduduki oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini. – ShahbudinHusin 24/10/2022.



No comments: