BN sukar menang PRU15 kerana rakyat tak puas hati, kata Rafizi
PETALING JAYA: Sukar bagi Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan prestasinya, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
Merujuk tinjauan statistik yang dibuat PKR, Rafizi berkata, kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan dan situasi ekonomi.
“Malam ini, saya nak cakap di sini, tidak ada bukti yang menyokong Umno menang besar pada PRU ini,” katanya pada kempen “Ayuh Malaysia”, malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, undi golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun sukar untuk diramalkan.
Katanya, berdasarkan statistik partinya, 84% pengundi muda tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi Malaysia serta cara kerajaan mengendalikan masa depan mereka.
“Ini kerana isu negara tidak berubah. Malah, ia semakin teruk kerana kos sara hidup meningkat,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi berkata, Pakatan Harapan (PH) akan berdepan tugas sukar untuk “memperbaiki” isu yang melanda negara jika gabungan itu menang pada PRU15.
Beliau menegaskan, bekas perdana menteri Najib Razak akan mengurangkan subsidi untuk rakyat apabila beliau menerajui kerajaan.
“Apabila PH menang pada 2018, harga minyak terpaksa distabilkan kerana subsidi mesti menjadi satu mekanisme paling baik untuk kita elakkan wang pergi (masuk) ke dalam poket mereka.
“Najib fikir bijak untuk potong subsidi ketika itu, tetapi lihatlah keadaan sekarang. Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail tidak berani potong subsidi kerana mereka tahu ia satu kesilapan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, BN gagal menyelesaikan isu melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Akhirnya hutang PTPTN menjadi 40 billion pada 2018. Kami cuba selesaikan isu ini dengan memastikan mereka yang berpendapatan (lebih) RM4,000 perlu bayar (hutang), tetapi mereka yang bekerja dengan gaji tidak setimpal, tidak perlu kena bayar. Kami cari cara lain bayar balik pinjaman itu.
“Bagaimanapun, hutang terkumpul (BN) terlalu banyak. Sebab itu penting untuk undi kerajaan yang boleh mengukuhkan ekonomi (Malaysia),” katanya.