'Poster Boy' MB Kedah akan diputuskan dalam masa terdekat - Anwar

 



Anwar berkata calon Menteri Besar daripada PH itu akan menjadi 'Poster Boy' dalam kempen PRU15 di Kedah. - Gambar fail
PENDANG: Pakatan Harapan (PH) Kedah akan memutuskan beberapa perkara melibatkan persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat, termasuk calon Menteri Besar.
Menurut PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata calon Menteri Besar daripada PH itu akan menjadi 'Poster Boy' dalam kempen PRU15 di negeri ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, gabungan itu sedang meningkatkan usaha bagi menawan semula negeri Jelapang Padi itu.
"Kita sudah ada beberapa pertemuan (di peringkat negeri) dan kita sedang meningkatkan usaha kita untuk memastikan Kedah ditawan semula oleh Pakatan Harapan.
"(Berkaitan 'poster boy' dan hal berkaitan PRU15) kita akan putuskan dalam masa yang singkat, malam tadi dan hari ini (juga kita telah adakan pertemuan),
"Saya (juga) percaya (kepimpinan di peringkat) negeri (Kedah) akan putuskan (berkaitan itu) berdasarkan pertimbangan dan muafakat antara mereka," katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Temu Anwar, Dialog Anak Muda di Pendang Lake Resort pada Ahad.
Ketika ini, Pas memiliki komposisi terbesar dalam kerajaan negeri Kedah dengan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi DUN, selain UMNO/BN (dua kerusi DUN).
Di pihak pembangkang pula, PKR memiliki lima kerusi DUN, Parti Amanah Negara (Amanah) (empat kerusi DUN), DAP (dua kerusi DUN), dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) (dua kerusi DUN).
Untuk kerusi Parlimen pula, PKR memiliki jumlah kerusi terbanyak dengan lima kerusi diikuti Pas (tiga), Pejuang (tiga), UMNO (dua) serta Amanah (satu).

No comments: