Bersih lancar petisyen asing kuasa pendakwa raya, peguam negara

 



Bersih berkata peguam negara kekal dilantik atas nasihat perdana
 menteri untuk menjadi penasihat undang-undang kerajaan dan tidak
 berperanan dalam proses kehakiman.

PETALING JAYA: Bersih melancarkan petisyen dalam talian mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen untuk memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dengan memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pelantikan peguam negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat perdana menteri. Justeru, lantikan itu merupakan lantikan politik dan menjadi penasihat undang-undang kepada baginda, perdana menteri dan Kabinet, kata kumpulan reformasi pilihan raya itu.

Bersih berkata, peguam negara juga merupakan pendakwa raya dan mempunyai kuasa bawah budi bicaranya untuk menjalan atau menghentikan sebarang perbicaraan bagi sesuatu kesalahan.

“Hal ini merupakan suatu konflik kepentingan dan telah menyebabkan banyak tuduhan campur tangan politik melalui pendakwaan terpilih dan imuniti, tidak meneruskan pendakwaan yang sedang berjalan dan penarikan pendakwaan terhadap mereka yang di pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kumpulan itu mahu peranan pendakwa raya diasingkan dan dilantik Agong melalui proses telus dan bebas daripada pengaruh perdana menteri.

“Peguam negara perlu kekal dilantik atas nasihat PM untuk menjadi penasihat kerajaan dan tidak berperanan dalam proses kehakiman,” katanya.

Pada Sabtu, Bersih menggesa peranan pendakwa raya dan peguam negara diasingkan, memetik penubuhan jawatankuasa kerja Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji pengasingan kedua-dua peranan itu tahun lalu.

Ia susulan daripada kemarahan berikutan keputusan mahkamah membabitkan Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kes rasuah. Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan atas permintaan timbalan pendakwa raya, pada 23 Sept untuk membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan siasatan mengenai petunjuk baharu.

Bersih berkata, ia memaparkan keperluan bagi pendakwaan bebas daripada peguam negara.

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Azeez dilepas tanpa dibebaskan dalam kes rasuahnya selepas tertuduh mengemukakan representasi untuk menarik tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram.

Bekas pengerusi Tabung Haji itu didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

No comments: