SELEPAS BEBAS 40 KES MAHKAMAH, ZAHID HAMIDI PATUT BERHENTI MENEKAN PERDANA MENTERI


Apabila Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan projek visa luar negara Jumaat lalu, persoalan yang menjadi penantian pemerhati politik dalam UMNO ialah apakah gerakan politik beliau selepas ini?

Adakah beliau akan lebih menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mempercepatkan lagi tarikh PRU15 atau sebaliknya?

Daripada satu segi, bebasnya beliau itu memberi kenaikan moral kepadanya untuk lebih mempercepatkan tarikh PRU15 kerana UMNO nampaknya sekarang ini bersemarak semangat mereka dengan pembebasan tersebut.

Jika dalam kes Najib Razak yang dihantar ke penjara dan Rosmah Mansor yang didapati bersalah sebelum ini membuatkan mahkamah diselubungi dengan dakwaan tidak adil dan berat sebelah, penilaian terhadap institusi keadilan itu kini sudah bertukar dengan serta-merta.

Dengan itu, sementara Zahid Hamidi sendiri sedang gembira dengan keputusan mahkamah itu, disertai ahli-ahli UMNO tengah membara semangat mereka, menekan untuk mempercepatkan lagi tarikh PRU15 dianggap adalah tindakan paling sesuai sekali dilakukannya.

Ini kerana, walaupun Zahid Hamidi ada 47 kes lagi sedang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan Yayasan Akalbudi, pembebasan daripada 40 pertuduhan pada Jumaat lalu seperti sedang membersihkan beliau buat sementara waktu daripada semua kes mahkamahnya.

Dengan itu, ramai yang memberi logik bahawa Zahid Hamidi akan meningkatkan lagi tekanannya kepada Ismail Sabri serta semakin tidak memperdulikan risiko banjir yang mungkin melanda beberapa negeri pada hujung tahun ini.

Tetapi, bersama risiko banjir yang hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak sebagai sokongan kepada Ismail Sabri agar menangguhkan PRU15 sehingga tahun depan, bebasnya beliau daripada 40 pertuduhan itu tidak mustahil juga boleh menukar Zahid Hamidi menjadi lebih bertolak ansur dan tidak lagi terlalu memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

Sebagaimana yang diketahui umum, mesyuarat kabinet pada Rabu tidak mencapai kata sepakat berkenaan pembubaran Parlimen kerana majoritinya memberi pandangan lebih sesuai PRU15 diadakan pada tahun depan.

Jika kabinet terus gagal mencapai kata sepakat, sementara UMNO pula memberi tekanan, keadaan itu boleh menjejaskan lagi kedudukan Perdana Menteri sebagai “poster boy” untuk membawa kemenangan kepada BN.

Ismail Sabri sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa persetujuan kabinet akan diperolehi terlebih dahulu sebelum beliau mengadap Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Ini bermakna, walaupun ditekan oleh UMNO, Ismail Sabri mesti mengambil kira pandangan kabinet berkaitan pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri yang telah dipilih sebagai “poster boy” yang sudah tentu dengan sandaran untuk membawa kemenangan kepada BN, beliau tidak harus dilihat terus ditekan oleh partinya sendiri iaitu UMNO.

UMNO mesti sentiasa dilihat bersama dan senada dengan Perdana Menteri supaya kebersamaan itu membuatkan rakyat juga yakin untuk mengundi BN.

Jadi pilihan terbaik bagi Zahid Hamidi, sementara hanya tinggal 47 kes sedang dihadapinya berbanding 87 sebelum ini, dibebaskan daripada 40 pertuduhan itu sepatutnya dapat mengurangkan separuh tekanan yang sedang dihadapinya.

Kurangnya tekanan itu sebaiknya diiringi sama dengan kesediaan beliau mengurangkan tekanan kepada Ismail Sabri untuk mempercepatkan PRU15 kerana akhirnya yang lebih memastikan BN mampu beroleh kemenangan ialah adanya kesepakatan dan sehati sejiwa sesama pemimpin UMNO.

Zahid Hamidi malah akan lebih dihormati jika lebih memberi perhatian kepada baki kes mahkamahnya, selain kekal memastikan UMNO sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15 dan menyerahkan kepada Perdana Menteri menentukan tarikh pembubaran Parlimen tanpa sebarang gangguan atau tekanan. . – ShahbudinHusin 26/09/2022.

 

No comments: