Ahli Parlimen PKR persoal kejujuran Muda sertai PH
PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendengar suara akar umbi berhubung penyertaan Muda dalam gabungan itu.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir meragui kejujuran parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menyertai PH hanya ketika menjelang PRU15 dan bukannya sebelum ini.
Akmal yang juga pengarah strategi PKR berkata, penilaian tentang kemasukan Muda perlu mendapat konsensus semua pihak, termasuk golongan muda.
“Isu penyertaan Muda perlu dinilai seperti proses lain. Kalau Majlis Presiden kata capai konsensus, kita akan terima, tetapi jika tidak capai konsensus, itu juga kita terima,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Jelas Akmal lagi, akar umbi khususnya di Johor Bahru melalui kesukaran apabila dikhianati Muda yang turut meletakkan calon di DUN yang ditandingi PKR pada PRN lalu.
“Cuma kami persoalkan masa diambil mereka (Muda) untuk menyatakan hasrat berkenaan. Mengapa sebelum ini tidak menyatakan sedemikian dan sebaliknya hanya sekarang baharu disuarakan.
“Cabaran menghadapi pilihan raya ini bukanlah boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua, tetapi sebaliknya memakan tempoh masa cukup lama untuk dibuat,” jelasnya.
Pada 6 Sept lalu, Syed Saddiq mengumumkan hasrat parti itu mahu menyertai PH secara rasmi dan disambut baik oleh DAP dan Amanah manakala PKR sebaliknya.
Pada PRN Johor lalu, Muda mencalonkan ketua penerangannya, Rasid Abu Bakar di kerusi DUN Larkin yang turut ditandingi calon PKR, Zamil Najwah Arbain.
Bagaimanapun, kerusi berkenaan dimenangi Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah.