INILAH HASIL SETAHUN MOU PH DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN



13 September tahun lalu merupakan tarikh keramat lagi bersejarah apabila Pakatan Harapan bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan lalu membentuk kerjasama dwipartisan ke arah reformasi institusi negara.


Menyorot kembali setahun perjalanan MoU ini, dianggarkan lebih 83 peratus perkara-perkara yang telah disepakati sudah berjaya dilaksanakan.


Antara kejayaan hasil pencapaian MoU ini termasuk:


1. Akta Anti Lompat Parti


Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai 2022 adalah kemenangan terbesar buat rakyat dan satu titik permulaan baharu dalam sistem demokrasi negara.


2. Pewartaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik


Pindaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik telah diwartakan secara rasmi dan mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.


3. Moratorium B50


Pemberian moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50) merupakan satu kemenangan kepada rakyat.


4. Pembaharuan Parlimen


Pembaharuan Parlimen telah menjadi salah satu daripada enam transformasi utama dalam MoU ini dan antara pencapaian utama yang dapat dilihat ialah melalui pemerkasaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan penyertaan yang lebih seimbang di antara Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.


5. Peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen


Hasil MoU ini, kesemua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang dirangkumi MoU ini menerima peruntukan yang sama, demi menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat.


6. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)


Usaha memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 telah dipersetujui bersama.


7. Kebebasan Badan Kehakiman


Memastikan badan kehakiman sentiasa bebas dari sebarang campur tangan mana-mana pihak.


Kesemua transformasi yang dilakukan ini adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih stabil selain membuktikan kepada rakyat yang Pakatan Harapan mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Hasilnya, beberapa pindaan perlembagaan telah dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MoU ini.


Jika kesemua transformasi ini boleh dicapai melalui MoU ini, bayangkan betapa banyaknya transformasi dan reformasi institusi yang boleh dilakukan sekiranya peluang dan mandat rakyat diberikan sekali lagi kepada Pakatan Harapan.


Fahmi Fadzil


Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan


Ahli Jawatankuasa Pemandu MoU


13 September 2022.


No comments: