JIKA BN KALAH, AMBILLAH JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN INI – TOK MAT NAMPAKNYA BUKAN PEJUANG SEJATI

 

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang kini merupakan “kepala perang” BN dalam menghadapi PRU15 rupa-rupanya bukanlah pejuang parti yang sejati.

Beliau ternampak berjuang hanya untuk mengejar kuasa serta kedudukan, tetapi akan meninggalkan medan perjuangan jika ditimpa kekalahan.

Ini berikutan kenyataan terbarunya semalam yang ingin melepaskan jawatan Timbalan Presiden UMNO jika BN kalah dalam PRU15 akan datang.

“Keutamaan kita adalah PRU15. BN mesti menang, kalau tak menang, susah nak bangun semula.

“Jadi, inilah peluang terakhir untuk kita membuktikan mampu bangkit semula untuk menawan Putrajaya.

“Kalau BN kalah, siapa nak jawatan Timbalan Presiden UMNO…ambillah,” ujar beliau ketika berucap di Konvensyen Wanita BN semalam.

Ehh..ehh…pejuang apa macam tu?

Inikah juga sikap seorang “kepala perang”?

Pejuang sejati, sama ada parti kalah atau menang, dia akan terus kekal dalam semangat yang sama memperjuangkan nasib parti.

Malah jika kalah, lagi bersemangat untuk meneruskan perjuangan sehingga kejayaan benar-benar dapat ditawan.

Tok Mat melalui kenyataannya kali ini, bagaimanapun langsung tidak memperlihatkan beliau mempunyai ciri-ciri pejuang parti yang sejati itu.

Dulu dalam PRU14, BN bukan saja kalah di peringkat pusat, bahkan turut kecuncang di Negeri Sembilan yang diketuainya selaku Menteri Besar.

Rupa-rupanya Tok Mat bertanding Timbalan Presiden UMNO pada 2018 selepas kekalahan itu hanyalah dengan harapan untuk mendapat kedudukan semula dalam kerajaan, barangkali dengan jawatan yang lebih tinggi lagi dan bukan untuk memperjuangkan nasib serta kepentingan parti sehingga ke mati.

Kalau kalah lagi kali ini, jelas kini jalan yang dipilihnya ialah mengundur diri dengan senang hati.

Kenapa tak sanggup menerima kekalahan dua kali?

Sebagai pemimpin nombor dua UMNO dan Pengarah Pilihanraya BN, Tok Mat sepatutnya memiliki semangat yang kental dan mahu terus melawan, tak kira apa jua hasil keputusan PRU15 akan datang.

Dengan memiliki sikap seperti itu serta mempamerkannya secara terbuka, ia dengan sendirinya dapat menaikkan semangat ahli-ahli parti untuk kekal dalam perjuangan dengan semangat yang sentiasa tinggi sepanjang masa.

Ini tidak, melalui kata-kata – kalau kalah kali ini, ambillah jawatan saya – hanya melemahkan semangat ahli-ahli parti serta beliau sendiri seolah-olah tiada keyakinan terhadap kemenangan.

Kalau tidak yakin dengan kemenangan dan mahu lari pula meninggalkan perjuangan setelah ditimpa kekalahan, bukankah lebih munasabah berundur saja sekarang atau lagi baik jika Presiden UMNO cepat-cepat cari orang lain sebagai Pengarah Pilihanraya BN? – ShahbudinHusin 15/08/2022.



No comments: