ROS PERLU DOKUMEN TAMBAHAN, UMNO CUAI?


 Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan semalam, adalah jelas Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS memerlukan lebih banyak masa lagi sebelum dapat memutuskan sama ada pindaan perlembagaan parti itu diluluskan atau sebaliknya.

Ini kerana surat yang dihantar UMNO kepada RoS sebelum ini didapati tidak lengkap dan jabatan itu memerlukan dokumen tambahan sebagai sokongan.

Untuk itu, RoS telah meminta dokumen berkenaan daripada UMNO dan parti itu telah menghantar lapan dokumen tambahan sebagaimana diminta.

Menurut Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian itu, tambahan masa itu perlu diberikan untuk membolehkan RoS meneliti dokumen tambahan yang yang telah diberikan.

“Oleh kerana permohonan RoS yang meminta sebanyak lapan jenis dokumen tambahan, maka itu dianggap sebagai tambahan masa sebelum mereka memberikan maklum balas.

“Kita berilah sedikit masa kepada RoS …mungkin seminggu dua lagi,” tambah beliau.

Dalam hal ini, ternampak bahawa surat permohonan UMNO kepada RoS berhubung cadangan pindaan itu adalah cacat dan tidak lengkap.

Lantaran tidak lengkap itulah menyebabkan RoS memerlukan dokumen tambahan daripada UMNO.

Jika permohonan UMNO lengkap dan sempurna, sudah pasti tiada masalah untuk RoS meluluskannya.

Kenapa ini berlaku?

Ahmad Maslan yang tidak teliti dalam mengemukan surat permohonan kepada RoS atau sememangnya ada peraturan tertentu dilanggar UMNO?

Apakah UMNO berharap oleh kerana UMNO sudah jadi kerajaan dan pemimpinnya memegang jawatan Perdana Menteri, permohonannya mesti diluluskan walau ada peraturan tidak dipatuhi?

Namun demikian, meskipun lapan dokumen telah dihantar, ia belum benar-benar menjamin permohonan UMNO itu sudah lengkap dan tidak lagi berdepan masalah.

Yang nyata, UMNO telah melakukan kecuaian dan tidak mematuhi peraturan dan sebab itu RoS memerlukan dokumen tambahan.

Apabila dokumen tambahan diminta, masa juga diperlukan untuk menelitinya sama ada boleh diluluskan atau tidak.

Makna kata, kalau permohonan itu selepas ini tidak diluluskan, ia bukanlah salah RoS, tapi memang salah UMNO sendiri. – ShahbudinHusin 18/07/2022.




No comments: