Kepakaran yang lebih dihargai di luar negara

 




NIK HASYUDEEN

·

Kepakaran yang lebih dihargai di luar negara

Petang tadi saya minum teh dengan Dr Haniza Yon. Beliau adalah di antara pakar di dalam bidang statistik dan psaikologi (psychometrician) yang tak ramai di dunia ini. Beliau ada syarikat sendiri yang menawarkan pelbagai solusi di dalam menggunakan data dan analisa berdasarkan psaikologi. Di antara pelanggan beliau adalah bank-bank di Malaysia dan luar negara. Solusi yang ada memang luar biasa.

Beliau menceritakan pelbagai perkembangan syarikat beliau termasuk menerima pelaburan dari sebuah bank pembangunan di Timur Tengah. Disebabkan itu, beliau diberikan pejabat percuma dan pelbagai kemudahan di sana. Beliau juga diberikan peluang untuk membesarkan perniagaan beliau dengan menawarkan solusi-solusi baharu kepada peniaga di sana.

Syarikat beliau sebenarnya bersaing dengan nama-nama besar dari luar negara. Namun, oleh kerana syarikatnya syarikat tempatan dan dianggotai oleh anak-anak kita, nilai mereka di mata pelanggan di sini tidak sebesar pesaing mereka. Orang luar lebih nampak potensi syarikat ini dan membuka peluang yang lumayan.

Saya pesan kepada dia supaya terus membina harta intelektual yang menepati kehendak pasaran. Jika kita ada apa yang orang lain hendak, tak ada masalah untuk mencari rezeki di mana sahaja. Jadi orang asing di bumi asing pun jadilah. Inilah kelebihannya ada ilmu dan kemahiran yang ada nilai di dalam pasaran. Tak perlu merayu-rayu kepada orang-orang yang sentiasa mencari peluang untuk merembat di sini sana.

 

No comments: