YA...WALAU APA PUN MATLAMAT TERUS JALAN KE DEPAN

 


Keputusan pemilihan tangguh, tiada masalah bagi Rafizi terus kempen PRU15



Rafizi Ramli berkata keutamaan PKR adalah membina kepercayaan rakyat kepada agenda masa depan yang boleh memperbaiki kehidupan rakyat.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli akan tetap meneruskan kempen mendekati rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun keputusan pemilihan PKR ditangguhkan.

Bakal timbalan presiden PKR itu akan mula mengumumkan gerak kerja kempen untuk berkongsi idea baharu minggu depan.

“PRU15 sebenarnya sangat dekat dan sewajarnya urusan dalaman parti politik diselesaikan secepat mungkin.

“Saya akan mula mengumumkan gerak kerja kempen untuk berkongsi idea baharu melalui ‘Ayuh Malaysia’ minggu depan,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Rafizi berpandangan tindakan menangguhkan keputusan pemilihan PKR baru-baru ini akan disampaikan mengikut saluran dalaman.

Katanya, keutamaan PKR adalah membina kepercayaan rakyat kepada agenda masa depan yang boleh memperbaiki kehidupan rakyat.

“Kerajaan akan bertukar ganti tetapi negara akan terus maju apabila rakyat yang baik hatinya dan ikhlas niatnya kekal menggerakkan idea pencerahan yang mendepankan kebajikan rakyat.

“Jangan berharap kepada ahli politik semata-mata, rakyatlah raja sebenar negara ini,” katanya.

Susulan penangguhan pemilihan PKR itu, kongres parti yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini juga ditangguh ke 15 hingga 17 Julai depan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata keputusan dibuat pada mesyuarat MPP Khamis lalu itu bagi memberi ruang kepada audit forensik berhubung pemilihan parti.