Pembangkang tidak gentar hadapi PRU tetapi tangani keperitan hidup rakyat dahulu


 Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa pembangkang takut menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan cuba 'membeli waktu' dengan pelbagai alasan tidak benar sama sekali.



Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Manivanan Gowin, pembangkang khususnya KEADILAN sedia masuk PRU pada bila bila masa kerana itulah cara memilih kepimpinan secara demokrasi.



Bagaimanapun, katanya, adakah masalah rakyat akan selesai dengan mengadakan PRU dan parti tertentu memerintah.



"Pada saya dengan apa yang sedang berlaku sekarang, kita nampak pembelaan kepada rakyat tidak dapat dikotakan oleh kerajaan yang memimpin hari ini.



"Namun untuk menukar kerajaan kita mesti melalui pilihan raya. Bermaksud kita akui bahawa pilihan raya adalah satu peluang untuk menyelesaikan masalah kepimpinan negara.



"Bagi kita, satu parti reformis (KEADILAN), bila bila masa kita bersedia untuk masuki medan pilihan raya itu tak ada isu," katanya.



Sebaliknya, Manivanan mengingatkan Zahid mengenai tujuan Pakatan Harapan bersetuju menandatangani Memorandum Kerjasam (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan tahun lalu, tidak lain adalah bagi memberi peluang kepada kerajaan BN - PN menyelesaikan masalah rakyat.



Katanya, dalam keadaan inflasi melambung, peluang kerja terhad dan banyak rakyat menganggur kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri perlulah menyelesaikan masalah terlebih dahulu, bukan sibuk mendapatkan kuasa melalui PRU.



"MoU itu kita memberi peluang dan ruang kepada pemimpin yang berhasrat untuk memimpin sebelum ini. Sebagai contoh, PM Ismail Sabri untuk dia membawa isu rakyat dan menyelesaikan masalah yang bertimbun.



"Jadi kita sedang beri ruang dan peluang kepada beliau dan kabinetnya untuk memastikan isu rakyat diselesaikan dalam satu masa terdekat dan selepas itu kita masuk pilihan raya," katanya.



Justeru, kata mantan Ahli Parlimen Kapar itu, kenyataan Zahid kononnya pembangkang membeli masa kerana takut PRU hanyalah retorik untuk menyembunyikan kegelisahan beliau sendiri kerana pilihan raya tidak berlaku sebagaimana dirancang oleh pemimpin tertentu Umno.



"Jadi sekarang untuk menyatakan kita membuat MoU (atau hal hal lain) untuk melambatkan pilihan raya itu tidak betul kerana dalam MoU itu pun ada beberapa point untuk menyelesaikan isu rakyat.



"Walaupun kita akui kerajaan dipimpin Ismail Sabri gagal memimpin atau menyelesaikan masalah rakyat yang bertimbun," katanya lagi.

 \

No comments: