TAK RASA MALUKAH TENGKU ZAFRUL JIKA NAK BERTANDING MEWAKILI UMNO? ATAU MEMANG DIA MUKA TAK MALU??

 

Setelah dikritik kiri kanan, depan belakang dan atas bawah, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya berubah nada dengan mengatakan beliau tidak memikirkan tentang politik buat masa ini, termasuk kemungkinan bertanding di Kuala Selangor dalam PRU15 akan datang.

Menurut beliau, tumpuannya kini adalah terhadap usaha pemulihan ekonomi negara.

“Sekarang ini tumpuan masih lagi pada tugas di MOF (Kementerian Kewangan), tidak ada memikirkan isu politik.

“Isu yang sedang dihadapi (sekarang) ialah pemulihan negara dan fokus kepada tugas kita,” katanya.

Berkenaan kemungkinan bertanding di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjawab – “bukan masa ini”.

Apa pun jawapan yang diberikannya, perubahan nada beliau itu bagaimanapun tidak menutup keinginan dalam hatinya yang boleh dilihat begitu mengintai untuk bertanding di Kuala Selangor.

Jika tidak, untuk apa beliau mengadakan suatu program Kenduri Rakyat secara besar-besaran dalam kawasan Kuala Selangor, mengumumkan kawasan tersebut sebagai daerah angkat kepada Kementerian Kewangan serta tidak segan-segan memberitahu Kuala Selangor ada nilai sentimental kepada dirinya?

Kenapa kenduri rakyat itu tidak diadakan di kawasan lain atau di mana-mana tempat terbuka seperti Dataran Merdeka atau kalau di Selangor, di Taman Tasik Shah Alam yang boleh dihadiri oleh semua lapisan rakyat?

Mengapa mesti pilih Kuala Selangor untuk berkenduri dan kenapa kawasan itu dijadikan daerah angkat?

Kalau tidak ada apa-apa, mana mungkin burung tempua saja-saja bersarang rendah?

Lagi pun, jawapan beliau masih agak berlapik iaitu hanya tidak memikirkan soal politik buat masa ini dan belum tentu tidak memikirkan masa depannya dalam politik pada masa-masa yang lain.

Tetapi, suatu perkara yang harus disedari oleh Tengku Zafrul ialah beliau bukanlah Menteri Kewangan yang bagus sangat atau luar biasa sehingga merasakan perlu untuk bertanding dalam PRU15 akan datang bagi membolehkannya kekal lagi dalam kabinet.

Banyak pendiriannya seperti enggan memberi moratorium kali kedua dan berkali-kali menolak gesaan pengeluaran RM10 ribu daripada caruman KWSP di ketika rakyat benar-benar memerlukannya sebelum ini adalah titik hitam yang meletakkan beliau bukanlah pemimpin yang berjiwa rakyat.

Beliau dapat jadi menteri pun bukan atas undi rakyat, sebaliknya melalui lantikan sebagai Ahli Dewan Negara ketika era kepimpinan Mahiddin Md Yasin setelah namanya dikhabarkan dicadangkan oleh pihak kayangan.

Lantaran itu, berpeluang jadi menteri sudah merupakan rezeki serta tuah yang terlalu melimpah bagi beliau sebenarnya dan tak perlulah jadi gatal hati lagi nak bertanding dalam pilihanraya pula.

Cukuplah setakat jadi Senator dan bersara sajalah sebagai menteri sebaik Parlimen dibubarkan nanti.

Tiada apa-apa perubahan yang membanggakan kepada kerajaan pun selama beliau jadi menteri selama ini.

Untuk Kuala Selangor, berilah peluang dan ruang kepada pemimpin tempatan diletakkan sebagai calon di situ.

Setidak-tidaknya calon tempatan tetap yang terbaik dan lebih mengenali hati budi penduduk Kuala Selangor, walaupun jika menang nanti mereka tidak berpeluang menjadi menteri.

Tambahan lagi, dalam UMNO sendiri ramai calon berpotensi yang boleh diketengahnya dan telah melalui susah payah perjuangan bermula daripada bawah lagi, bukan turun ke bumi daripada langit cakrewala.

Selain itu, kiranya Tengku Zafrul benar-benar ingin bertanding di Kuala Selangor, beliau mahu bertanding atas tiket apa?

Meskipun beliau adalah ahli UMNO, Tengku Zafrul sepatutnya ada rasa malu jika ingin bertanding atas tiket BN kerana pendiriannya yang begitu tegar serta keras menolak tuntutan UMNO berkaitan pengeluaran RM10 ribu daripada KWSP sebelum ini.

Kenapa mahu menumpang nama dan tiket BN, sedangkan sebelum ini begitu tegar serta keras menolak apa yang dituntut dan diperjuangkan oleh UMNO, malah Tengku Zafrul juga tidak pernah mengaku beliau adalah ahli UMNO ketika dilantik menteri sewaktu era Mahiaddin dahulu?

Bukankah lebih berbudi bahasa kepada Mahiaddin jika beliau menawarkan diri bertanding atas tiket PN mewakili Bersatu? – ShahbudinHusin 10/06/2022.



No comments: