BN gagal bela veteran tentera, gagal bela warga tua
Himpunan Reunion Veteran Angkatan Tentera Malaysia pada 6 Jun lalu memperlihatkan bagaimana lemahnya negara dalam menangani masalah warga tua.
Fakta menyedihkan daripada 300,000 veteran, 75% daripadanya termasuk dalam kategori B40 dengan pencen yang tidak seberapa selepas mempertaruhkan nyawa berbakti kepada negara.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, masalah veteran ini merupakan riak riak awal bagaimana lemahnya Malaysia menuju negara menua pada 2030 kelak.
“Saya merujuk kepada laporan bagaimana veteran tersepit dalam usia persaraan menghadapi masalah duit pencen yang tidak mencukupi ketika berdepan cabaran kos sara hidup yang makin meningkat.
“Situasi ini bukanlah satu perkara terpencil yang hanya berlaku kepada kumpulan pesara tentera semata-mata. Dalam tempoh 8 tahun lagi negara ini akan menjadi negara tua apabila 15% daripada penduduk Malaysia merupakan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
“Kalau kerajaan memerintah sekarang pun sudah tidak mampu menjamin kesejahteraan dan menjaga kebajikan pesara tentera yang berjasa pada negara, bagaimanakah pula dengan nasib warga emas yang terdiri daripada orang awam kelak?” tanyanya.
Menurut Ker Chean lagi, selain Kementerian Pertahanan yang perlu mengambil tindakan segera menangani masalah veteran, kementerian kementerian lain juga perlu proaktif dan menyediakan pelan menangani masalah kebajikan warga emas.
Katanya, Kerajaan perlu mempunyai pelan merancang sosio-ekonomi dan kebajikan warga emas yang komprehensif jika tidak mahu berada dalam keadaan kucar kacir sedekad akan datang.
“Selain daripada Menteri Pertahanan yang perlu mengambil tindakan segera menangani rintihan pesara tentera ini, seluruh jentera kerajaan wajib memberikan perhatian penuh serta segera kepada aspek kebajikan sosial dan perkhidmatan penjagaan warga emas.
“Laksanakanlah pendekatan yang menyeluruh bagi memastikan jaringan keselamatan dan kebajikan sosial untuk golongan ini mudah diakses dan berpatutan untuk meringankan beban kewangan warga emas dan veteran tentera yang banyak jasa juga sumbangannya kepada negara agar mereka mampu mengharungi hari tua dengan bermaruah,” katanya lagi.