MENGENANG REVOLUSI DEMOKRASI EMPAT TAHUN LALU

 

Pada hari ini, Isnin 09 Mei 2022 genaplah empat tahun telah berlalu Revolusi Demokrasi berlaku di Malaysia.

Ketika itu lanskap politik Malaysia mengalami perubahan radikal tanpa tumpah darah. Ia berlaku melalui kuasa rakyat yang diterjemah di peti undi.

Empat tahun lalu, rakyat ingin melihat Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Putrajaya. Hal itu berlaku.

Rakyat ingin melihat Kerajaan BN tumbang di mana-mana. Itu juga berlaku. Dari utara, bermula di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Kerajaan-Kerajaan BN tumbang. Kerajaan BN di Sabah juga kalah. Kerajaan Negeri Sarawak pula keluar dari BN. Hanya Pahang dan Perlis sahaja dikuasai BN. Manakala Trengganu dan Kelantan dimenangi semula oleh PAS.

Keazaman rakyat di seluruh negara jelas inginkan perubahan. Di banyak kawasan Parlimen BN tumbang tersungkur termasuk di Puncak Borneo dan di Lubuk Antu, kedua-duanya di Sarawak.

Begitu kuat kesan Revolusi Demokrasi. Ia seperti ombak besar yang memukul pantai.Rakyat menyambut kemenangan Pilihanraya Umum ke-14 pada 09 Mei 2018 bagaikan mengecapi suatu kemerdekaan nasional dari belenggu kuasa kukubesi yang mencengkam selama ini. Terasa lega dan kesyukuran di sana sini.Satu kemenangan “Peoples Power”.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu, rakyat ingin melihat, jika BN tumbang maka Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara. Harapan itu juga menjadi kenyataan.

Sebuah kerajaan baru terbentuk menggantikan BN. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kenyataan.

Selama 61 tahun sejak Merdeka, BN menjadi pemerintah Kerajaan Persekutuan. Ia boleh dikalahkan. Perubahan boleh dilakukan. Satu sejarah baru terukir. Tidak ada sesuatu yang mustahil.

Revolusi demokrasi juga bererti revolusi sosial. Rakyat dapat melihat bekas Perdana Menteri Najib Razak ditangkap; Menteri dan Timbalan Menteri ditangkap; Pengerusi Felda ditangkap; Pengerusi Tabung Haji ditangkap, First Lady isteri bekas Perdana Menteri juga ditangkap.

Mereka disoalsiasat, diheret ke Mahkamah dan didakwa mengikut lunas undang-undang. Satu kemenangan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Revolusi Demokrasi ini hanya dapat bertahan selama 22 bulan sahaja akibat Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat tetapi peristiwa kebangkitan rakyat di peti undi itu tidak dapat dipadam dalam sejarah tanahair. Juga tidak dapat dihakis dari himpunan memori rakyat.

Empat tahun telah berlalu dan kini Pilihanraya Umum ke-15 akan tiba tidak lama lagi.

Persoalannya adakah Revolusi Demokrasi dipeti undi akan berlaku sekali lagi?

Jawapan saya positif. Ya, ia akan berlaku.

Kenapa?

Kerana perjuangan menentang golongan serakah kleptokrasi yang mencuri dan merompak wang rakyat dan wang negara masih belum selesai. Masih belum berakhir.

Golongan Kleptokrasi ini sama ada di dalam selimut ataupun di luar selimut perlu “ditelanjangi” dan diheret ke mahkamah untuk dihakimi.

Keajaiban mungkin berlaku lagi. Dengan izin Allah, InsyaAllah rakyat Malaysia yang patriotik akan bangkit menyelamatkan negara ini.

Gelombang revolusi demokrasi rakyat akan berulang sekali lagi di peti-peti undi dalam PRU-15 nanti.

Tetapi fenomena itu tidak boleh terjadi begitu sahaja dengan sendiri. Maka tugas kita semualah yang cintakan tanahair ini untuk berusaha bagi menjadikan harapan tersebut satu kenyataan.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

09 Mei 2022



No comments: