Kelab malam dibuka semula, penggiat industri jangka larangan menari dalam SOP
PETALING JAYA: Menari mungkin masih tidak dibenarkan apabila kelab malam dibenarkan beroperasi semula pada Ahad selepas dua tahun ditutup akibat Covid-19, namun pengusaha berpendapat, ini mungkin pendekatan yang tepat untuk membantu industri yang tenat itu bangkit semula.
Walaupun prosedur operasi standard (SOP) bagi pengoperasian semula industri hiburan malam masih belum diumumkan, penggiat industri yang terlibat dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pengunjung berkemungkinan besar dikenakan larangan menari dan kontak rapat.
“Kemungkinan besar SOP melibatkan larangan menari serta pelaksanaan kawalan terhadap pengunjung bagi memastikan keadaan tidak terlalu sesak,” kata David Gurupatham, pengasas bersama gabungan kumpulan perdagangan Industries Unite.
“Kita tidak mahu peningkatan mendadak jangkitan yang mungkin mengakibatkan kelab malam sekali lagi ditutup,” katanya.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan semua premis yang masih dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara (MKN) – khususnya kelab malam – boleh beroperasi semula pada 15 Mei.
Gurupatham, yang mewakili gabungan terdiri daripada 120 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi serta badan perdagangan berkata, pembukaan selamat kelab-kelab malam adalah penting bagi menjamin 150,000 hingga 250,000 pekerja sektor itu turut menikmati kestabilan pekerjaan selepas dua tahun terumbang-ambing.
Jeremy Lim, Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB) yang turut menganggotai Industries Unite berkata, beliau tidak kisah jika larangan menari termasuk dalam SOP.
Bagaimanapun, katanya, penting wujudnya anggaran bila aktiviti menari akan dibenarkan, contohnya seperti apabila kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau kadar kemasukan ke hospital menurun.
“Jika menari tidak dibenarkan, sampai bila? Dan apakah kriteria yang akan membolehkan menari dibenarkan kelak?” katanya.
Lim berkata, pemilik kelab malam tidak perlu risau terpaksa melaksanakan had kapasiti, kerana situasi Covid-19 berubah-ubah.
“Sebagai pemilik perniagaan, had kapasiti akan merugikan, namun ia mesti diimbangi dengan keperluan kesihatan awam,” tambahnya.