KESIAN KAT DIA...AWAT HANGPA TOLAK..DIA PEGANG DUIT TU...KAH....

 

PRU15: Umno Kuala Selangor tolak program Tengku Zafrul


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Pada Januari, Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu bahawa beliau
 ‘tiada masa untuk berfikir sama ada bakal bertanding pada PRU15 atau
 tidak’, di sebalik spekulasi mengaitkannya dengan Parlimen Lembah
 Pantai dan Kuala Pilah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Kuala Selangor menolak program membabitkan Tengku Zafrul Abdul Aziz susulan desas-desus bahawa menteri kewangan itu mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Jahaya Ibrahim, mengeluarkan notis berkenaan menerusi WhatsApp selepas menerima aduan daripada ketua-ketua cawangannya.

Menurut beliau, satu “gerakan” didalangi “anasir luar” sedang meraih sokongan ahli Umno tempatan untuk tujuan itu, sekali gus boleh memecahkan Umno Kuala Selangor.

Setakat ini belum ada maklumat mengenai keahlian Tengku Zafrul dalam mana-mana parti, namun Jahaya memaklumkan desas-desus mendakwa gerakan itu ingin Tengku Zafrul bertanding sebagai calon Umno.

“Dia orang Umno ke kalau hendak bertanding atas tiket Umno? Kita pun tak tahu dia orang Umno atau tak. Dia lahir dari ‘perut’ Muhyiddin Yassin yang melantiknya menteri kewangan…bukan dilantik orang Umno,” katanya kepada FMT.

Tengku Zafrul yang berstatus senator dilantik sebagai menteri kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin. Beliau dikekalkan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada PRU14, Parlimen Kuala Selangor menyaksikan pertembungan antara Umno, Amanah, dan PAS. Calon Amanah, Dzulkefly Ahmad yang bertanding atas tiket PKR, menang dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Di peringkat DUN, calon PH menang di semua tiga kerusi menewaskan calon Umno, MIC, dan PAS dengan kelebihan antara lebih 1,000 hingga lebih 2,000 undi.

“Kalau dia (Tengku Zafrul) nak bertanding atas tiket Umno, esok kita bimbang dia melompat juga ke Bersatu akhirnya,” kata Jahaya.

Semakan di media sosial mendapati beliau memuat naik gambar beberapa program di Kuala Selangor, termasuk membabitkan belia dalam satu program menonton Piala FA di Puncak Alam, baru-baru ini.

Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar, turut menghadiri majlis makan malam dengan NGO Cina dan India di Kuala Selangor.

Noh merupakan Ketua Umno Selangor dan ahli Majlis Kerja Tertinggi parti.

Sehingga kini, tiada sebarang layanan diberikan oleh pihak Tengku Zafrul terhadap khabar angin itu.

Pada Januari, Tengku Zafrul memberitahu Sinar Harian bahawa beliau “tiada masa untuk berfikir sama ada bakal bertanding PRU15 atau tidak”, di sebalik spekulasi mengaitkannya dengan Parlimen Lembah Pantai dan Kuala Pilah.