Pengeluar produk kayu digesa rebut peluang kekurangan bekalan di AS,UK
PETALING JAYA: Pengeluar produk kayu negara ini digesa merebut peluang susulan sekatan ke atas produk kayu Rusia yang memaksa pengimport dari Amerika Syarikat mencari sumber alternatif terutama untuk papan lapis, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China juga telah meletakkan Malaysia dan Indonesia sebagai satu-satunya pilihan sumber kayu untuk ekonomi terbesar dunia ini.
Namun, katanya, ketika ini kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS.
Namun, katanya, ketika ini kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS.
“Tidak ramai yang tahu sebenarnya pasaran untuk kayu Malaysia di AS, khususnya bagi kayu meranti dan keruing adalah agak tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, permintaan untuk kayu meranti meningkat sebanyak 9% berbanding tahun lalu, manakala permintaan untuk kayu keruing meningkat sebanyak 467% dari AS.
Bagaimanapun, Zuraida berkata eksport produk kayu dari Malaysia kini agak perlahan kerana kekurangan balak dari hutan semula jadi dan ini menyebabkan kilang papan sukar memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh pengeksport kayu-kayan ialah kesesakan di pelabuhan disebabkan kekurangan kontena, ruang dalam kapal dan kekangan logistik yang lain, katanya.
“Namun, ‘transshipment’ telah dikenal pasti sebagai salah satu solusi untuk jangka masa sederhana. Dalam hal ini, Persatuan Produk Kayu Antarabangsa (IWPA) yang berpangkalan di AS telah menyatakan hasratnya untuk berbincang dengan ketua-ketua industri kayu-kayan Malaysia tentang cara bagi menangani isu yang dihadapi oleh sektor ini.
“Ini akan melibatkan langkah-langkah untuk melindungi Malaysia daripada menjadi sasaran persatuan kayu-kayan domestik dan pihak berkuasa AS atas isu pengelakan perdagangan, satu rangka kerjasama juga sedang dibangunkan antara pegawai AS dan pihak berkuasa Malaysia seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Jabatan Kastam,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata Malaysia juga sedia bekerjasama rapat dengan UK untuk mengatasi kekurangan produk kayu negara itu.
“Walaupun menghadapi gangguan yang agak ketara dalam pasaran produk kayu, jumlah import UK meningkat sebanyak 15% dalam 2021, kenaikan terbesar sejak 2008.
“Mulai 1 Januari tahun ini, terdapat perubahan dalam peraturan kastam UK kerana ia akan meninggalkan rangka kerja Kastam Kesatuan Eropah dan Pasaran Tunggal.
“Justeru, industri perkayuan negara kita bakal mendapat manfaat daripada banyak produk bebas cukai dan ia juga mengurangkan keperluan untuk menuntut kadar duti khas,” katanya.